Thursday, March 9, 2017

PERMATA : Kesinambungan Usaha Isteri Perdana Menteri Terdahulu

Merujuk kenyataan yang dikeluarkan Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA)  Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong,  peranan sebenar isteri seorang Perdana Menteri tertumpu kepada aktiviti-aktiviti berkaitan kemasyarakatan dan kebudayaan. Sekiranya kita melihat kembali sejarah pentadbiran negara bermula dari era Tunku Abdul Rahman sehingga ke era Datuk Seri Najib Razak, peranan yang dimainkan isteri kepada pemimpin-pemimpin ini semakin meluas dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan. Pembangunan pesat negara menuju status negara maju menjadikan aktiviti berkaitan melangkaui sempadan negara dan secara tidak langsung mempromosikan negara.


Berbanding semasa negara baru memperoleh kemerdekaan dan dalam proses pembangunan, peranan isteri Perdana Menteri tidak terlalu ditonjolkan. Sorotan ditumpukan kepada Perdana Menteri dan kepimpinan negara yang lain bagi menyampaikan mesej dan halatuju negara dalam memenuhi aspirasi rakyat. Walau bagaimanapun, dalam fasa sebuah negara yang baru belajar berdikari, peranan belakang tabir yang dimainkan isteri Perdana Menteri adalah penting dari aspek sokongan psikologi dan emosi memandangkan pada ketika itu negara ini bermula dari kosong dan terdapat tanggaungjawab yang sangat besar kepada kepimpinan negara dalam merangka dan mencorakkan pembinaan negara.

Selepas hampir 20 tahun negara mencapai kemerdekaan, telah berlaku perkembangan dari segi sosio-ekonomi dan hubungan luar negara dalam era-1970-an. Semasa era ini, BAKTI telah ditubuhkan oleh Toh Puan Suhaila Mohammad Noah isteri kepada Perdana Menteri ke-3, Tun Hussein Onn. Pada ketika itu, beliau aktif memperjuangkan nasib wanita dan golongan kurang berkemampuan. Disamping itu juga, beliau menaungi beberapa pertubuhan berkaitan wanita dan menubuhkan Perpustakaan Kanak-Kanak bagi membudayakan celik huruf di usia muda. Legasi yang ditinggalkan Toh Puan Suhaila disambung oleh isteri-isteri Perdana Menteri yang lain.

Pelbagai program kemasyarakatan dan kebudayaan dianjurkan secara aktif bagi membantu menangani isu-isu berkaitan masyarakat terutama wanita dan kanak-kanak. MIsalnya Tun Siti Hasmah, isteri kepada Perdana Menteri ke-4 Tun Mahathir giat menjalankan program berkaitan kesedaran kesihatan wanita dan bahaya penyalahgunaan dadah. Toh Puan Endon pula diingati kerana sumbangan beliau dalam memartabatkan industri batik.

Dalam konteks hubungan luar negara pula, pergaulan dengan isteri pemimpin-pemimpin dunia yang lain secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara negara. Misalnya, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai hubungan yang sangat baik dengan isteri pemimpin-pemimpin beberapa buah negara. Hubungan seperti ini dilihat mampu memudahkan perkiraan diplomasi dengan sesebuah negara. Mungkin masih ramai yang ingat semasa peristiwa pelajar Malaysia di Mesir terperangkap di negara itu akibat huru-hara yang berlaku. Pelajar-pelajar ini berjaya dipindahkan dengan segera dan selamat kerana hubungan seperti ini.

Penubuhan program PERMATA yang dinaungi Datin Seri Rosmah Mansor dilihat sebagai manifestasi dan penambahbaikan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh isteri Perdana Menteri sebelum ini. Program ini merangkumi usaha-usaha berkaitan pendidikan awal kanak-kanak, kesihatan, kekeluargaan dan juga kebudayaan. Semakin negara menghampiri taraf negara maju, peningkatan dari segi ekonomi dan pertambahan rakyat, peranan isteri kepada seorang Perdana Menteri juga dilihat semakin luas skopnya dan tidak hanya stagnant disesuatu tahap.

No comments:

Post a Comment