Wednesday, October 8, 2014

Subsidi Minyak Sampai Rizab Petroleum Habis?

Berikut adalah satu artikel yang diperoleh dari status FB yang di email kepada penulis untuk dikongsi bersama-sama pembaca ;


Bilangan kereta di atas jalanraya dari tahun ke tahun semakin bertambah. Bilangan kereta di jalanraya pada tahun 1980-an tak sama dengan bilangan kereta tahun 2014. 

Oleh yang demikian, permintaan terhadap bahan bakar kenderaan semakin bertambah. Dari sudut teori ekonomi asas, harga akan meningkat bila permintaan tinggi dan stok terhad. Kenapa stok terhad? Sedangkan Malaysia adalah negara pengeluar minyak? 

Sekadar satu pencerahan minyak di Malaysia adalah dari jenis "sweet crude" yang bermutu tinggi, minyak yang digunakan untuk kereta yang biasa kita pakai adalah dari jenis "sour crude" yang diimport dari negara luar, "sweet crude" yang dikeluarkan oleh negara kita pula dijual pada harga yang tinggi ke negara luar untuk kegunaan industri-industri berkaitan. Pun begitu "sweet crude" yang diperoleh bukanlah dari jenis yang boleh diperbaharui, ia akan menyusut dari tahun ke tahun dan ini adalah fakta yang rakyat Malaysia perlu tahu.

Sekiranya simpanan minyak negara terus menyusut dan pada satu ketika tiada lagi subsidi yang boleh diberikan oleh kerajaan adakah rakyat negara ini akan memberontak? Antara hasil pendapatan negara yang utama ialah minyak dan hasil minyak ini digunakan untuk subsidi-subsidi tertentu antaranya minyak. 

Kalau bilangan kereta pada tahun 2014 bertambah berkali ganda berbanding tahun 80-an adakah kita jangkakan pada tahun 2034 bilangan kereta akan berkurangan? Sedangkan pada ketika itu saya pasti rizab minyak negara akan semakin menyusut. 

Jadi dari sumber mana lagi kerajaan pada ketika itu nak korek untuk bagi subsidi minyak pada rakyat yang dah tentu pada ketika itu lebih besar jumlahnya dek pertambahan kenderaan? Dari segi politik, baik BN atau PR memerintah hal ini akan tetap berlaku. Harga minyak akan terus naik dek faktor pertambahan kenderaan dan kesusutan sumber minyak negara yang mana hasil daripada sumber itu selama ini digunakan untuk memanjakan rakyat dengan subsidi terutamanya minyak.

Jadi bagaimana seharusnya perkara ini ditangani? Saya mempunyai beberapa cadangan yang dah lama difikirkan, cuma tergerak hati untuk luahkan pandangan ini selepas melawat negara matahari terbit baru-baru ini. Antara perkara yang saya rasa wajar dipertimbangkan kerajaan ialah meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan di negara ini. Jepun adalah negara pengeluar kereta, dan bilangan pemilikan kenderaan di negara itu agak tinggi.Walaupun begitu, jumlah kenderaan yang ada di jalanraya sangat kurang. Penduduk di sana mudah untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain. 

Subsidi seharusnya disalurkan untuk meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan untuk rakyat, semua pihak perlu memainkan peranan secara aktif bermula dari kerajaan persekutuan, kerajaan negeri hingga ke peringkat pihak. berkuasa tempatan. Jaringan LRT perlu diperbanyakkan, selain feeder bas yang disediakan PBT secara percuma untuk orang awam ke stesen LRT berdekatan.

Subsidi juga seharusnya digunakan untuk meningkatkan mutu sistem pembelajaran dan perubatan untuk rakyat. Kita tidak mahu jika satu hari nanti kita terpaksa membayar harga yang mahal untuk pendidikan tinggi dan perubatan dek kerana subsidi yang banyak telah dibazirkan untuk perkara yang "hangus" atau tidak mendatangkan hasil.

Insentif atau mekanisma tertentu mungkin perlu diwujudkan untuk kenderaan yang mengangkut hasil tani, ikan, dan lain-lain keperluan asas untuk kegunaan rakyat bagi mengatasi faktor kenaikan harga barang atas alasan kenaikan harga minyak. Kementerian Pertanian mungkin boleh memikirkan kaedah dalam meningkatkan keluaran hasil tani tempatan, negara perlu mengorak langkah dalam menghasilkan dan meningkatkan "sumber makanan" untuk rakyat tanpa kebergantungan pada hasil import. Ia bukan beerti kita mahu menuju ke arah negara hasil tani namun ia lebih tertumpu kepada persediaan "bekalan makanan" untuk negara ini yang semakin meningkat jumlah rakyatnya.

Saya akui, perkara ini mudah untuk diperkatakan daripada dilaksanakan. Namun, ia perlu dilakukan demi masa depan negara. Kebergantungan hasil pendapatan negara terhadap keluaran minyak hanyalah sementara, ironinya hasil minyak ini juga digunakan untuk memanjakan rakyat dengan pelbagai subsidi. Persoalannya apa akan berlaku sekiranya hasil minyak ini susut atau habis? Adakah anak cucu kita bersedia menghadapi semua ini setelah nenek moyang puas dimanjakan dengan subsidi?

2 comments:

Masalahnya bukan sebab subsidi. Masalah utama adalah pembaziran wang rakyat oleh kerajaan Najib dan rakyat menjadi mangsa.Ada paham??

Setuju. Soal subsidi satu hal, tapi bila duit ditabur dijalanan atas nama BR1M ketika Malaysia masih mempunyai hutang berlambak. Paling tidak, gunalah saluran yang betul iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat bukan BR1M atas dasar PM yang beri. Masih banyak yang infrastruktur yang perlu dibina.
Kalau benar nak dibuang subsidi, tak bolehkah subsidi itu disalurkan kepada pengangkutan awam, jadikan pengangkutan awam percuma sehingga rakyat benar-benar selesa dengan pengangkutan awam. Lepas tu bolehlah dibuang secara berperingkat-peringkat.

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu