Thursday, October 9, 2014

RM44.67 Billion Dana 1MDB dari Pelaburan Asing dan Terbitan Bon

Selama ini kita sering disajikan dengan pelbagai cerita kurang enak mengenai dana 1MDB, pelbagai tuduhan dan andaian dilemparkan terutama daripada pihak pembangkang dalam mempengaruhi pemikiran rakyat. Perdana Menteri, DS Najib Razak semalam dalam sidang parlimen telah memberikan penjelasan mengenai sumber dana 1MDB . Berikut adalah artikel yang diperoleh dari Bernama ;


KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Nilai aset terkumpul 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditubuhkan kerajaan pada 2009, berjumlah RM44.67 bilion pada 31 Mac tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata agensi itu yang ditubuhkan bagi mengumpul dana dengan membawa masuk pelaburan langsung asing untuk projek negara dan menerbitkan bon, turut menerima pinjaman daripada institusi kewangan domestik dan antarabangsa.

"1MDB mempunyai pinjaman sebanyak RM5.8 juta yang dijamin kerajaan, namun tidak menerima jaminan kerajaan bagi bon atau pinjaman lain. "RM5 bilion ialah jaminan yang diberikan untuk bon-bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 30 tahun yang diterbitkan oleh 1MDB dan RM800 juta bagi pinjaman 1MDB," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini Rabu.

Najib yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Kluang) mengenai kaedah 1MDB mengumpul dana, jumlah dana terkini serta pencapaian 1MDB sejak ditubuhkan.

Sementara itu, Najib berkata 1MDB menerajui projek jangka panjang untuk memanfaatkan pelaburan dan kepakaran antarabangsa bagi pelaburan yang mempunyai nilai pengganda yang tinggi dan inovasi.

Beliau berkata antara projek yang sedang dijalankan ialah Projek Bandar Malaysia, yang sebahagiannya membabitkan pembangunan rumah mampu milik, khusus untuk golongan eksekutif muda.

Perdana Menteri berkata projek Bandar Malaysia, projek pembangunan bersepadu memajukan semula Lapangan Terbang Sungai Besi, akan menjadi ikon kepada kelestarian kehidupan di bandar Kuala Lumpur.

Selain itu, Najib berkata 1MDB juga memberi tumpuan ke atas sektor tenaga dengan membeli aset-aset tenaga Tanjong Energy Holdings, Genting Sanyen dan Jimah Energy Ventures Sdn Bhd. Ini bagi memenuhi aspirasi kerajaan untuk memastikan jaminan tenaga mampan dalam jangka panjang, katanya.

"Konsortium 1MDB-Mitsui juga memenangi Projek 3Boleh Suruhanjaya Tenaga yang akan melibatkan pembinaan dan operasi 2000 megawatt loji arang batu bersebelahan loji jana kuasa Jimah di Negeri Sembilan," katanya.

Justeru, 1MDB kini merupakan pengeluar tenaga bebas (IPP) kedua terbesar di Malaysia dari segi kapasiti pengeluaran tenaga.

Selain itu projek Tun Razak Exchange yang dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan masa depan, mempunyai matlamat untuk membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab kewangan antarabangsa selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan ibu kota ini sebagai bandar raya global.

Projek berkenaan yang dijangka memakan masa pembinaan selama 15 tahun, dikenal pasti oleh kerajaan sebagai projek permulaan dalam Program Transformasi Ekonomi untuk mencapai pendapatan per kapita lebih dua kali ganda menjelang 2020, kata Najib.

"Perjanjian yang ditandatangani 1MDB Real Estate Sdn Bhd dan Lend Lease ini dijangka menarik sehingga US$1 bilion (RM3.2 bilion) dalam bentuk pelaburan langsung asing ke Malaysia," kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Najib berkata penubuhan 1MDB mengikut Akta Syarikat 1965 bertujuan menerajui inisiatif strategik pembangunan ekonomi jangka panjang yang mampan dan menggalakkan pengaliran masuk pelaburan asing ke dalam negara.

"1MDB ditubuhkan untuk memacu pembangunan ekonomi mampan jangka masa panjang yang berimpak tinggi bagi Malaysia dan untuk menjalin perkongsian strategik global dalam menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia yang memberi fokus utama kepada sektor tenaga, hartanah dan hospitaliti," katanya.

sumber : Bernama

1 comments:

Haa Haa..

Kau Tak Tahu citer sebenar.. Back Up lah Boss Kaki Hutang kau tuuh.

Malaysia ada Dua Kaki yang menjahanamkan Negara..

1. Kaki Hutang

2. Kaki Liwat

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu