Wednesday, September 24, 2014

Percaturan Anwar Gagal, Jawatan Timbalan Presiden PKR Faktor Azmin dipilih Jadi MB

Artikel yang ditulis oleh kolumnis Utusan ,Datuk Zaini Hassan mengenai Langkah 2A, kisah Tan Sri dan RM3.2 billion, bila diteliti tidak mempunyai asas yang kuat untuk menyokong dakwaan-dakwaan yang dikemukakan beliau. Menurut Zaini dalam artikel yang berkenaan, 'Langkah Kajang' sebenarnya merupakan 'Langkah 2A' untuk mengabui mata Wan Azizah dalam proses melantik Azmin bagi menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar. Melalui 'sumber yang sahih' , Zaini turut menyatakan penglibatan 2 orang Tan Sri yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Istana telah melobi keras Azmin untuk menjadi MB Selangor yang baru.


Secara peribadi, penulis cukup pantang bila ada penulisan menyebarkan sesuatu perkara itu dengan menggunakan modal 'sumber yang sahih' , 'sumber yang boleh dipercayai' , dan lain-lain sumber yang tidak dinamakan hanya semata-mata untuk menyokong kandungan artikel yang ditulis . Bila ada penulis guna modal 'sumber yang sahih' , integriti artikel yang ditulis oleh penulis berkenaan secara otomatis dah menurun kecuali untuk pembaca-pembaca yang kurang kemampuan untuk menganalisa dan hanya menelan 100% isi kandungan artikel berkenaan.

Merujuk pandangan Datuk Zaini kononnya Langkah Kajang adalah 'camouflage'  Langkah 2A (Anwar-Azmin) dengan alasan bahawa perangkaan itu dibuat oleh Anwar untuk mengabui mata Wan Azizah dengan niat sebenar beliau untuk melantik Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baru adalah tidak tepat. Alasan Anwar ingin menjaga hati Azizah dengan menggerakkan Langkah 2A secara 'underground' dilihat agak dangkal kerana hanya disebabkan kesungguhan beliaun untuk menjaga hati isteri, beliau sanggup memperjudikan hubungan beliau dengan istana dan sekutu parti PAS .

Adalah tidak masuk akal hanya disebabkan drama 'Azizah-Azmin' ini memungkinkan PR terpaksa menghadapi satu  pilihanraya negeri yang baru. Benarkah Anwar begitu sensitif dalam soal menjaga hati isteri ? Mungkin kita boleh imbas kembali cerita-cerita lama mengenai hubungan dingin antara Anwar dan Wan Azizah. Beberapa 'peristiwa' jelas menunjukkan Azizah dengan mudah diperkotak-katikan Anwar. Anwar boleh terus saja menamakan Azmin sebagai pengganti Khalid sebagai Menteri Besar pada peringkat awal 'Kajang Move' dilaksana daripada menghadapi risiko yang boleh memecah-belahkan gabungan PR itu sendiri. Lagipun umum sedia maklum, selain Wan Azizah , Azmin adalah calon paling ideal untuk menggantikan Khalid sebagai MB Selangor.

Sementara itu niat Azmin untuk menjadi MB Selangor selepas PRU-13 sememangnya telah dijangka umum, Namun disebabkan PR gagal menawan Putrajaya, plan asal mungkin telah berubah, impian Anwar untuk menjadi PM musnah. Dalam masa yang sama juga beberapa keputusan yang dibuat oleh Khalid dalam beberapa isu juga tidak disenangi Anwar, bagi Anwar , Tan Sri Khalid bukanlah seseorang yang mudah dikawal maka gerak kerja untuk menyingkirkan beliau dibuat secara sistematik. Niat Anwar untuk menggantikan Khalid boleh dihidu apabila Langkah Kajang dimulakan, namun disebabkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes liwat, Anwar menjadikan Wan Azizah sebagai alternatif yang dilihat ramai sebagai proksi.

Penglibatan 2 orang Tan Sri yang mempunyai hubungan rapat dengan istana dalam mempengaruhi keputusan Sultan melantik Azmin sebagai Menteri Besar hanyalah semata-mata persepsi yang lemah dari kolumnis Utusan itu . Penulis tak rasa pendapat Tan Sri yang disebut oleh kolumnis itu mampu mempengaruhi keputusan pihak istana sebaliknya jelas keputusan pihak istana adalah berdasarkan senarai calon MB yang dikemukakan oleh PKR, PAS dan DAP. Sekiranya hanya 3 nama yang dikemukakan, Sultan melalui budi bicara beliau hanya terpaksa memilih salah satu calon berdasarkan kriteria-kriteria yang dinyatakan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri . Dalam hal ini, calon dari PKR mempunyai kelebihan memandangkan situasi dimana 2 ADUN 'pengkhianat PAS' bersama-sama dengan lain-lain ADUN PKR dan DAP. Jelas sekali, penglibatan 2 orang Tan Sri seperti yang dinyatakan itu relevan dengan perlantikan Azmin sebagai MB yang baru.

Kesimpulannya, Anwar GAGAL dalam meletakkan 'proksi' beliau Wan Azizah dalam mengetuai pentadbiran Selangor  , walaupun Azmin sebelum ini dilihat rapat dengan Anwar , beberapa individu lain yang berpengaruh dalam PKR juga tidak begitu menyenangi Azmin Ali misalnya Chegubard yang secara terang-terangan menghentam Azmin . Semasa pemilihan PKR yang lepas misalnya 'team' Saifuddin/Nurul Izzah/ Rafizi yang dibentuk menunjukkan pemimpin-pemimpin yang berpengaruh dalam PKR ini tidak sekepala dengan Azmin. Andainya pada pemilihan PKR yang lepas jawatan Timbalan Presiden dimenangi oleh Saifuddin Nasution dan bukannya Azmin , penulis pasti salah satu nama yang akan dicadangkan oleh PAS ialah Saifuddin Nasution di atas kapasiti beliau sebagai Timb. Presiden.

Maka, hipotesis Datuk Zaini mengenai 'Langkah 2A' itu sendiri menjadi tidak betul. Adakah kita akan kata Anwar 'mengatur' Azmin untuk menjadi Timbalan Presiden pula bagi memastikan kelangsungan 'Langkah 2A' sedangkan di kalangan pemimpin PKR beliau merupakan seorang yang tidak popular ? Adakah Anwar mampu mengatur jawatan Timbalan Presiden ini untuk Azmin sedangkan banyak mata (musuh-musuh Azmin) memantau semasa pengiraan undi untuk jawatan itu dibuat sehingga memakan masa berbulan-bulan lamanya?

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu