Thursday, May 22, 2014

PRK Teluk Intan : Pengamal Media Sosial Perlu Fokus Pada Masalah Setempat Berbanding Calon Bertanding ?

Barisan Nasional dilihat mempunyai peluang 50-50 untuk PRK Teluk Intan yang akan diadakan beberapa hari lagi . Sejak dari awal lagi, iaitu sebelum penamaan calon ramai yang berpendapat pembantu kepada Setiausaha Agung DAP , Lim Kit Siang akan menjadi calon . Malah di pihak penyokong BN, terutama di kalangan pengguna media sosial telah mengangkat nama Dyana Sofea sebagai calon yang mungkin diletakkan DAP untuk bertanding. Ramai yang berpendapat Dyana hanyalah 'boneka' kepada DAP. Tindakan DAP meletakkan calon Melayu hanyalah sebagai taktik untuk menarik sokongan pengundi Melayu.



Namun Dyana tersilap langkah semasa berkempen apabila dengan jelas menyatakan bahawa tidak akan menyokong perlaksanaan hudud sekiranya diberikan mandat oleh pengundi untuk menjadi ahli parlimen Teluk Intan. Kenyataan yang dibuat oleh Dyana ini sudah pasti membingungkan penyokong-penyokong PAS yang juga dilihat turut sama membantu dalam kempen DAP di Teluk Intan. Dyana yang juga merupakan graduan Uitm dalam jurusan undang-undang juga menimbulkan kontroversi apabila mempersoalkan kewujudan Uitm yang dikhaskan untuk Melayu dan Bumiputera . Beliau berpendapat peluang yang serupa harus diberikan pada bangsa-bangsa lain. Kenyataan beliau ini sedikit sebanyak telah menyinggung sensitiviti sesetengah orang Melayu.

Sejak awal lagi apabila isu Dyana dibangkitkan, penulis mengambil sikap tunggu dan lihat respon-respon di kedua-dua belah pihak BN (khususnya UMNO) dan PR (khususnya DAP) . Di kala Dyana dihentam oleh penyokong-penyokong BN , DAP mengambil kesempatan itu untuk melonjakkan populariti calonnya . Malah ibu bapa Dyana turut terkena tempias kerana dikatakan tidak tahu mendidik anak walaupun merupakan telah lama menjadi ahli UMNO dan pernah memegang jawatan dalam parti. Bagi penulis soal mendidik anak adalah perkara kedua kerana jati diri seseorang individu itu bergantung kepada persekitaran dan orang-orang yang dicampuri. Ibu bapa tidak akan berada 24 jam disisi anak-anak untuk terus memantau mereka. Pandangan dan pemikiran politik seseorang itu dibentuk melalui pengalaman2 yang akan dilalui mereka.

Itu yang terjadi pada beberapa bekas orang UMNO yang menyertai DAP dan PKR , tak terkecuali juga beberapa ahli dan pemimpin DAP yang keluar dari parti antaranya seperti Tungku Aziz . Mereka ini telah melalui satu pengalaman yang tidak memberi keuntungan pada diri atau mungkin berasa diri dipergunakan setelah berada beberapa ketika dalam parti maka pandangan mengenai politik telah berubah . Tidak mustahil pada satu hari nanti , Dyana juga mungkin akan turut keluar dari DAP dan persoalan sekarang adakah mereka yang mencemuh beliau pada ketika ini akan mempunyai pandangan yang berbeza ? Tentu masih ramai ingat bagaimana Ezam Mat Nor dicemuh oleh UMNO ketika beliau masih berada di PKR dan situasi itu berubah apabila beliau menyertai UMNO semula.

Berbalik kepada cerita PRK Teluk Intan , sehingga hari ini penulis masih tidak pasti apakah isu-isu rakyat di kawasan itu yang dimainkan di media . Banyak yang bercakap mengenai isu2 nasional seperti GST , perangi rasuah , kenaikan harga barang dan isu-isu bersifat nasional . Penulis percaya dalam keadaan peluang 50-50 ini , adalah lebih baik pasukan BN menjuarai isu-isu rakyat setempat . Mungkin pasukan-pasukan penyelidik di pihak BN boleh mencari isu-isu khusus setempat . Calon adalah faktor yang penting namun bagi rakyat adalah lebih elok memilih calon yang faham selok belok dan masalah rakyat itu sendiri . Apakah isu-isu setempat yang gagal diselesaikan sepanjang tempoh DAP memegang parlimen itu ? Adalah lebih elok media menumpukan pada aspek-aspek berkenaan , dan mungkin juga boleh menguji kefahaman calon yang bertanding mengenai masalah setempat parlimen yang ditandingi daripada menumpukan kontroversi calon itu sendiri. Sekadar pandangan.

1 comments:

Mohon Laluan Untuk Kenyataan Media Pembela berkenaan sikap tidak sensitif sesetengah pihak terhadap agama Persekutuan

http://www.bangkit.info/2014/05/kenyataan-media-pembela-berkenaan-sikap_24.html

Terima kasih atas ruang kebenaran.

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu