Wednesday, January 1, 2014

Orang Awam Kecewa Acara Sambutan Tahun Baru dicemari Insiden Demonstrasi

Petikan dari artikel Rakyatnews.my


KUALA LUMPUR 1 Jan - Sambutan tahun baru di Dataran Merdeka pada tahun ini hanya mengundang rasa kecewa dalam kalangan pengunjung yang datang berikutan perhimpunan haram yang berlaku di sini.

Menurut salah seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Hidayah, 29, berasal dari Ipoh yang hadir di Dataran Merdeka pada malam tadi, beliau dan suaminya berasa agak kecewa dan hampa kerana sambutan tahun baru yang diharapkan, tidak berlaku sama sekali.

"Saya dan suami berasa hampa dan tunggu hingga pukul 1 pagi, tapi tiada satu pun bunga api yang dipasang. Lebih baik kami sambut tahun baru di Ipoh sahaja.

"Saya harap perkara (perhimpunan haram) ini tidak akan berulang lagi kerana ianya memalukan negara, dan sekiranya mahu diadakan juga, mereka boleh buat di hari yang lain," katanya ketika ditemui wartawan Rakyat News di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, perhimpunan sedemikian sangat tidak wajar dan hanya memalukan negara terutamanya kepada para pelancong asing yang datang ke Malaysia dan mahu merasai pengalaman menyambut tahun baru di Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Nabila Anis Azura,yang turut hadir pada malam tadi berkata, sambutan yang diadakan agak meriah, melihatkan pengunjung yang ada di tapak sambutan tahun baru itu masih ramai, meskipun jam sudah melewati pukul 1 pagi.

Apabila diajukan soalan mengenai isu yang tersebar di laman sosial bahawa sesetengah pengunjung yang hadir mendakwa diraba semasa mengikuti sambutan tahun baru, Nabila, yang berasal dari Keramat itu berkata ianya menjadi tanggungjawab masing-masing dalam menjaga perlakuan dan tindakan.

"Masing-masing tahu tanggungjawab sendiri dan mungkin mereka yang kena (diraba) dan yang buat (meraba), tiada tanggungjawab, ini kerana apa yang boleh kita lihat mungkin matlamat sebenar mereka (peserta perhimpunan) adalah positif dan apa yang berlaku adalah di luar jangkaan," katanya.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi pengunjung yang sempat ditemubual wartawan Rakyat News pada malam itu, Mohd. Amir berkata, keadaan di tapak sambutan tahun baru agak sesak dan meriah dengan bilangan anggota polis bertugas yang ramai.

Amir, yang juga seorang pelajar mendakwa, beliau mengetahui tentang perhimpunan dan persembahan artis tanah air pada malam ini melalui laman-laman sosial dan tidak bercadang untuk menyertainya dari awal lagi.

"Saya tahu ada perhimpunan pada malam ini, tapi saya tidak mengendahkannya dan tidak bercadang untuk menyertainya.

"Mengenai persembahan artis-artis pada malam ini (sambutan tahun baru) pun saya dapat tahu melalui Facebook," kata Amir ketika ditemu bual.

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu