Sunday, December 15, 2013

Rosmah : Semua dilakukan mengikut prosedur

ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tenang ketika ditanya kontroversi penggunaan jet ke Qatar.  Beliau menghuraikan satu persatu jadual kerjanya dan mengapa beliau berada di Qatar, Dubai, Sri Lanka dan akhir sekali Bangladesh. Semuanya kerana kerja bukan untuk suka-suka. Semuanya dilakukan mengikut prosedur.

Dari Langkawi Rosmah terbang ke Qatar bagi memenuhi undangan untuk menyertai Qatar International Businesswomen Forum yang keempat. Beliau dijemput menerusi kedutaan Qatar di Malaysia yang kemudian dipanjangkan ke Wisma Putra dan dirujuk ke Kabinet.

Di Qatar, isteri Perdana Menteri diberi penghormatan menyampaikan ucaptama bertajuk The Empowerment of Malaysia Women dan juga dikurniakan anugerah.

"Dalam ucaptama itu saya berkongsi tentang kejayaan wanita Malaysia yang menjadi kebanggaan kita semua. Tak sangka pula dalam kita berbangga dengan khalayak antarabangsa tentang negara kita rupanya ada pihak yang tidak berpuas hati.

"Masyarakat antarabangsa bersungguh-sungguh memberi penghormatan kepada Malaysia tetapi rakyat kita sentiasa memandang negatif apa yang saya buat," katanya.

Sementelah diberi penghormatan berada di pentas forum itu, Rosmah mengambil kesempatan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Abdullah Nasser Khalifa Al-Thani. Kunjungannya itu turut menerima kritikan.

" Sebagai tetamu adakah salah saya memohon mengunjungi Perdana Menteri sebagai menghormati tuan rumah. Jika isteri Perdana Menteri negara-negara lain datang ke Malaysia, mereka akan melakukan perkara yang sama," katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya baru-baru ini.

Jadual Rosmah di Qatar sememangnya padat. Beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Sheikha Moza Nasser yang merupakan Pengerusi Yayasan Qatar . Kunjungan hormat ke atas isteri Perdana Menteri, Sheikha Alanoud juga dilaksanakan.

Ditanya dakwaan kononnya beliau menggunakan jet kerajaan untuk menonton pertunjukan fesyen, Rosmah memberitahu, pertunjukan fesyen itu anjuran rakyat Malaysia, dan beliau dijemput kerana kebetulan berada di Qatar atas urusan rasmi.

Katanya, isteri Perdana Menteri Qatar telah menyatakan persetujuan untuk hadir pada majlis anjuran rakyat Malaysia di situ, salahkah beliau sebagai isteri pemimpin negara yang kebetulan ada di situ dan dijemput 

"Saya bukan ke Qatar kerana pertunjukan fesyen. Saya berada di Qatar atas jemputan rasmi dan menonton pertunjukan fesyen yang dianjurkan oleh rakyat Malaysia kerana dijemput.  Saya juga mahu menyokong usaha rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada" katanya.

Isteri Perdana Menteri kemudiannya terbang ke Dubai bagi memenuhi undangan Princess Haya. Di Dubai berlangsung beberapa agenda termasuk membantu kerajaan di situ merealisasikan impian mahu melaksanakan program seperti PERMATA. 

Satu majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Permata Pintar yang dikendalikan UKM dan Alliance International Investment berlangsung semasa Rosmah berada di Dubai.

"Satu lagi kebanggaan apabila Malaysia menjadi rujukan malah program Permata menjadi model ikutan beberapa negara termasuk UAE," kata Rosmah.

Di Dubai, Rosmah turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Princess Haya dan Sheikha Fatma Mubarak iaitu Mother of The Nation UAE

Beliau turut dijemput mengadakan lawatan ke Dubai Humanitarian City dan Dubai Healthcare City yang menempatkan pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta badan-badan kemanusian antarabangsa .

Perbincangan antara delegasi Malaysia dan UAE turut berkisar kepada tawaran hasrat mereka mahu membuka cawangan di Malaysia sebagai hub di rantau ini. Mereka turut bertukar pandangan mengenai penyelidikan  autisme.

"Kita explore pelbagai kemungkinan dan membina persahabatan untuk menarik perhatian mereka tentang peluang yang ada di Malaysia. Dan Alhamdulillah mereka menerima kita secara positif malah mahu membuka cawangan di negara kita sebaga wakil mereka di rantau ini," katanya.

Ditanya mengapa tidak menggunakan pesawat komersial, Rosmah tersenyum. Katanya, isu itu tidak pernah timbul sebelum ini kerana setiap apa yang beliau lakukan mesti dirujuk kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

Kabinet, katanya, mengambil kira pelbagai faktor terutamanya keselamatan dan masa.

``Kita bergerak mengikut jadual, apatah lagi sesuatu program itu disediakan oleh tuan rumah, kita mesti menepati masa," katanya sambil memberitahu kemudahan jet kerajaan itu telah ada sejak sebelum Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri.

Menurut Rosmah jadualnya padat tidak memungkinkan beliau menaiki pesawat komersial, dan beliau bukannya bersenang lenang apabila berada di satu-satu negara sebaliknya akan memastikan setiap masa terisi dengan program berfaedah. Dan tidak semua negara menyediakan penerbangan ke satu-satu negara secara kerap, malah adakalanya hanya satu penerbangan untuk satu destinasi setiap hari.

Misalnya hanya terdapat satu penerbangan dari Kuala Lumpur ke Colombo, begitu juga Kuala Lumpur ke Dhaka seperti mana juga Dubai - Colombo dan Dubai ke Dhaka.

Dari Dubai, Rosmah berangkat ke Sri Lanka dan tiba di Colombo lewat malam dan seawal pagi menyertai Perdana Menteri menghadiri majlis perasmian CHOGM dan selesai CHOGM mereka ke Bangladesh untuk lawatan negara. Di Bangladesh, Malaysia turut menghulurkan bantuan untuk merawat kanak-kanak yang mengalami masalah sumbing.

Bukan mengungkit, tetapi hubungan erat Rosmah dengan isteri-isteri pemimpin luar negara ada masanya memberi kelebihan bukan untuk dirinya  tetapi untuk rakyat Malaysia.

Kes penghantaran pulang  kira-kira 8,000 pelajar Malaysia di Mesir ketika negara itu bergolak misalnya berjaya diselesaikan apabila beliau menghubungi keluarga diraja Arab Saudi sehingga akhirnya mereka dibenarkan mendarat di Jeddah dan diberi visa sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

Begitu juga apabila seorang pelajar Malaysia, Ibrahim Mohd Azmi hampir dipenjarakan di Rafah kerana disangkakan spy sedangkan penuntut berkenaan menyertai konvoi anggota kemanusiaan Viva Palestina untuk mengambil gambar sepanjang perjalanan konvoi itu ke Gaza.

"Saya menghubungi Suzzane Mubarak memberitahu pelajar berkenaan akan menduduki peperiksaan, ibu bapanya bimbang dan pelbagai alasan lagi. Ketika itu fokus saya adalah untuk membebaskan pelajar berkenaan dan akhirnya dia  dibebaskan dapat dapat kembali meneruskan pengajian," katanya.

Bapa kepada pelajar berkenaan Dr Azmi Mohd Ghazali turut mengucapkan terima kasih kepada Rosmah
Azmi berkata, beliau sekeluarga amat berterima kasih kepada usaha isteri Perdana Menteri dan Kedutaan Malaysia di Mesir yang berjaya membebaskan anaknya itu.

"Saya tidak mengharapkan orang akan berterima kasih atau bersyukur dengan usaha kecil saya itu tetapi tolong jangan asyik mencari salah orang lain, atau menjaga tepi kain orang lain. Dan jangan mengada-adakan cerita, berdosa besar. Saya tak mengata orang, tak memburukkan pembangkang,"  katanya.

Menurut Rosmah, apa yang dilakukan adalah sumbangannya untuk kesejahteraan negara dan beliau percaya mana-mana isteri pemimpin jika dijemput untuk berkongsi pengalaman tentang kejayaan negara mereka akan berbuat demikian. Dan adalah pemandangan biasa isteri-isteri pemimpin dunia menggunakan jet kerajaan masing-masing kerana pelbagai faktor waima negara seperti Bangladesh, Vietnam, Thailand, Laos, Kemboja dan Sri Lanka pun berbuat demikian.

"Apa yang saya lakukan kerana Allah, yang lain-lain saya tak fikir. Biarlah mereka memfitnah, menuduh dan memburuk-burukkan saya," katanya. -- MalaysiaGazette

Sumber:
http://malaysiagazette.com/nasional/semuanya-kerana-kerja-bukan-suka-suka-rosmah#axzz2nVBsY7px

5 comments:

Cukup cukup lah tu rosmah....jgn nak menonjol sgt...sejak bila pulak kabinet trpaksa bincang ttg hal ehwal bini pm...jgn pikir ko boleh bodohkn sumer org...jaga ar laki kau 2 baik baik...jgn menonjol tak tentu psl...nnti ko dan laki kau jd penganggur trhormat je ....hmmmm

Sekurang kurangnya penjelasan rosmah dah menjawab persoalan2 yg ditimbul selama ni. Patut dijawab lebih awal sbb akan ada ja musuh luar dan dalam nak jatuhkan imej, maklumlah bukan boleh puaskan hati semua orang

ala...jgnla bodoh kan rakyat sampai mcm ni sekali..
alasan boleh cari...
memangla kabinet kena luluskan kan lah apelah..kabinet ni anak buah sape?---PM
sape bos kepada menteri2 kabinet----PM
x ke mampos kabinet kalo x luluskan?
kalo bini bos nak, mampos la bos x tunaikan...kalo bos nak...mamposla kalo anak buah x luluskan...
sebab flight xdd??
ahahaha...kemonla..dlm dunia ni ade MAS je ke?
knp zaman Tun dulu xde pon sampai mcm
nak kata x aktif,penaung badminton antaranya...selain keje2 kebajikan yg lain..
badminton siap menang piala thomas lagi masa itu.
sekarang?
walo dah peluk chong wei pon blom tentu menang!

Najib mmg seswai jd PM...
...kalo zaman 1970an lah
sb masa tu xde fesbuk,xde mesiakini,even blog kerajaan..
senang nk bodoh kan rakyat!

Rosmah pun janganlah terlampau melebihi PM pula, Lawatan para Isteri PM negara lain tu bersama Suami yang PM, jadi ambil kesempatanlah jumpa atau kunjungan hormat kat PM bukan kena datang dengan JET Kerajaan cuma bawa BINI PM/President. Sudah-sudahlah tahun 2014 depan kalau PM keluar negara ikutlah dan buat lah kunjungan kepada mana-mana VVIP negara yang dilawati jangan pergi sendiri dan guna JET Kerajaan / atau Naik MAS business Class. Kurang juga KOS. Rosmah kena ingat PM tu YB Parlimen kalau dalam PRU14 nanti KALAH macam mane....? Boleh Jadi PM dilantik sebagai Senator ke....?

bukan mencari salah orang wahai datin sri. datin terlalu menonjolkan diri, itu yang orang tak tahan dan mungkin juga meluat. datin sri adalah isteri perdana menteri dan bukan bukan menteri kabinet. mengapa terlalu terkehadapan mengalahkan menteri kabinet? cukuplah menjadi isteri pm dengan mengiringi pm kemana2. tak perlulah menjadi menteri tugas-tugas khas yang bertungkus lumus seolah-olah kabinet suami datin sri tidak cukup menteri. niat datin sri menang baik, tapi tindak tanduk datin sri yang terlalu menonjol ini menjadi buah mulut dan kata-kata nesta daripada orang yang tak menyukai datin sri dan suami. ianya akan menjadi umpama api dalam sekam, membakar sedikit-sedikit reputasi suami datin sri sebagai pm. akhirnya ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi rakyat. niat baik perlu dilaksanakan dengan penuh hati-hati agar memberi kesan yang baik juga. untuk ingatan datin sri, kerja baik datin sri sejak bertahun-tahun itu sebenarnya banyak merosakkan reputasi suami datin sri sebagai pm. cukup-cukuplah datin sri. masih banyak sebenarnya kerja-kerja baik seorang isteri pm yang boleh dilaksanakan tanpa perlu terlalu menonjol. mungkin datin sri boleh mencontohi isteri mantan-mantan pm malaysia yang lepas. mereka sentiasa bersama suami tetapi mereka tidak membuat kerja suami. sekian.

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu