Tuesday, December 31, 2013

PM umum 11 langkah penjimatan sektor awam

Dari artikel Berita Harian;

PM umum 11 langkah penjimatan sektor awam
Berkuat kuasa esok, langkah sejajar hasrat perbelanjaan berhemat

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri berkata, ia sejajar hasrat kerajaan untuk berbelanja secara berhemat tahun depan, manakala langkah penjimatan lain bakal menyusul dan diperkenalkan secara berperingkat berdasarkan keperluan serta keadaan semasa.


“Keputusan dibuat selepas berunding dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Langkah berkenaan ialah:

Pengurangan 10 peratus elaun keraian menteri dan timbalan menteri serta lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) ke atas.

Pengurangan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.

Pengurangan RM50 hingga RM100 atau 30 peratus kemudahan bayaran tol bagi pegawai kanan kerajaan (Gred JUSA C ke atas).
Pembekuan permohonan baru bagi pengubahsuaian ruang pejabat kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.

Mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek fizikal kerajaan termasuk menjalankan kajian kesesuaian, manakala cadangan pelantikan perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan KSN untuk kelulusan.

Pengurangan penggunaan syarikat pengurusan acara dan pemberian cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis kerajaan membabitkan anggota pentadbiran serta penjawat awam.

Pindaan kelayakan tiket penerbangan domestik dan antarabangsa. Ia termasuk penggunaan kelas ekonomi sektor domestik bagi penjawat awam Gred JUSA C ke bawah.

Mengurangkan penyediaan makanan dan minuman semasa penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

Pengurangan penggunaan kain pemidang bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau acara rasmi kerajaan.

Mengoptimum penggunaan ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan sewaan premis.

Mengguna pakai pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimumkan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan di institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar serta bengkel.

2 comments:

Bilalah segelintir rakyat nak hidup di alm realiti. Melayu pulak kuasa politik tu hendaknya dijagai dgn sebaiknya

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu