Friday, December 27, 2013

Kontrak RM10 Billion Untuk 6 Syarikat Tempatan

Sumber : BERNAMA


Penggunaan tenaga di Malaysia dijangka berkembang sederhana tahun depan dengan pertumbuhan penduduk yang marginal dan perkembangan ekonomi yang sederhana, demikian menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).


IEA berkata Malaysia merupakan pengguna tenaga ketiga terbesar di rantau Asean dan penduduk negara ini meningkat pada kadar tahunan purata sebanyak 1.2 peratus manakala pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada purata empat peratus setahun.


"Faktor-faktor ini membantu memacu peningkatan dalam permintaan tenaga utama Malaysia dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 2.3 peratus," katanya dalam laporan khas, Prospek Tenaga Asia Tenggara.


Menurut IEA, pertumbuhan permintaan tenaga Malaysia perlahan dari masa ke masa setelah pertumbuhan dalam jumlah penduduk dan KDNK sederhana.


Ia berkata penggunaan tenaga per kapita Malaysia sekarang ini agak tinggi bagi rantau ini iaitu pada 61 peratus daripada purata Pertubuhan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).


Dari segi penawaran, IEA berkata pengeluaran gas Malaysia dijangka meningkat dalam jangka masa sederhana untuk mencapai kira-kira 70 bilion meter padu (bcm) pada tahun 2020 dengan hampir separuh daripadanya untuk pasaran eksport.


"Prospek untuk eksport terus kekal kukuh dalam jangka sederhana, dengan penemuan baru-baru ini dan perkembangan baharu dijangka memastikan terminal gas asli cecair (LNG) beroperasi pada kapasiti penuh sekurang-kurangnya sehingga 2018," katanya.


Menurut IEA lagi, rizab gas Malaysia yang telah terbukti ialah sebanyak 2.4 trilion meter padu.


Bagi minyak pula, agensi antarabangsa itu berkata bekalan minyak Malaysia dijangka meningkat kepada 740,000 tong sehari dalam jangka pendek berbanding 670,000 tong sehari yang dicatatkan tahun lepas.


Ia berkata projek-projek penemuan minyak dipertingkat (EOR) dan peningkatan pengeluaran minyak dari projek laut dalam luar pesisir Sabah dijangka mengembalikan output Malaysia yang berkurangan tetapi tidak akan mencukupi untuk mengekang penurunan pengeluaran minyak dalam jangka lebih lama.


Ia berkata dengan rizab minyak sebanyak empat bilion tong pada tahun lepas, Malaysia merupakan pengeluar minyak kedua terbesar di Asean dan pengeksport bersih minyak, walaupun permintaan yang semakin meningkat telah merapatkan jurang, menurunkan eksport kepada 70,000 tong sehari pada 2012.


Melihat kembali perkembangan pada 2013, antara pembangunan utama industri minyak dan gas ialah pentauliahan terminal regasifikasi Sungai Udang di Melaka pada April.


Projek bernilai RM3 bilion dengan kapasiti maksimum 3.8 juta tan setahun LNG itu akan disalurkan kebanyakannya untuk penjanaan kuasa.


Dalam Bajet 2014, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Oktober, menyatakan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan melaksanakan satu lagi loji regasifikasi di Lahad Datu, Sabah.


Bajet 2014 juga mengumumkan projek-projek lain yang akan dilaksanakan oleh Petronas termasuk Projek Urea Ammonia Sabah (SAMUR) di Sipitang, projek pembangunan pengeluaran minyak dan gas bersepadu di Kebabangan dan Loji Penapisan dan Pembangunan Bersepadu Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor.


Menurut Petronas, Rapid kini dalam fasa kajian kebolehlaksanaan secara terperinci dan keputusan pelaburan akhir dijangka pada Mac tahun depan.

Projek berkenaan akan menggandakan simpanan regasifikasi LNG Petronas kepada tujuh juta tan setahun apabila beroperasi pada 2017.


Satu lagi perkembangan dalam industri minyak dan gas tempatan tahun ini ialah siapnya EOR Topside oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Bhd bagi medan minyak luar pesisir Tapis di Terengganu.


Projek EOR bernilai RM10 bilion itu yang telah dilaksanakan oleh ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, Petronas Carigali Sdn Bhd dan Petronas, akan meningkatkan pengeluaran Tapis kepada 35,000 tong sehari daripada hanya antara 3,000 kepada 4,000 tong sehari pada masa ini.


Petronas, turut memberikan kontrak bagi blok besar daripada 13 pakej kerja dengan nilai gabungan sebanyak RM10 bilion kepada enam syarikat tempatan iaitu Kencana HL Sdn Bhd, Dayang Entreprise, Petra Resources Sdn Bhd, Carimin Engineering Services Sdn Bhd dan Sigur Ros Sdn Bhd.


Sebulan kemudiannya, pada 13 Dis, Petronas sekali lagi memberikan kontrak bernilai RM10 bilion bagi kerja bersepadu dan pentauliahan serta penyengaraan utama bahagian atas kepada TL Offshore Sdn Bhd, PBJV Sdn Bhd dan GOM Resources Sdn Bhd.


Perkembangan lain pada 2013 adalah penemuan medan minyak dan gas daratan, 20 kilometer dari Miri, medan darat pertama ditemui selepas 24 tahun.


Selain itu, syarikat minyak negara juga memberikan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) kepada Salamander Energy Malaysia Ltd dan Petronas Carigali Sdn Bhd bagi blok PM322, di Selat Melaka, yang menandakan 100 PSC aktif di Malaysia sejak sistem itu diperkenalkan di negara ini pada 37 tahun lalu.


Pada sudut pandangan global pula, bank pelaburan Norway DNB Bank ASA menjangka
harga minyak merosot tahun depan kepada US$102 setong, daripada US$108 setong yang diunjurkan bagi seluruh tahun ini, setelah isu geopolitik menjejaskan negara-negara pengeluar minyak.


Penganalisisnya Torbjorn Kjus berkata faktor utama yang akan menarik turun harga minyak lebih rendah akan bergantung kepada bagaimana negara-negara pengeluar minyak utama yang terjejas oleh krisis itu seperti Libya dan Iran kembali ke pasaran, terutamanya dengan Iran yang baru-baru ini terlibat dalam urus janji sementara enam bulan sebagai pertukaran pelonggaran sekatan, bagi
mengurangkan aktiviti nuklearnya.


"Jika perjanjian menyeluruh dengan Iran boleh dicapai pada rundingan dalam tempoh enam bulan akan datang, harga boleh berubah lebih rendah daripada unjuran kami pada US$102 setong pada 2014," katanya dalam laporan Tinjauan Masa Depan Pasaran Minyak 2014.


Beliau berkata pengeluaran minyak global berkurangan kira-kira dua juta tong setiap hari kerana ketegangan politik di Libya dan sekatan di Iran.


Kjus berkata imbangan permintaan dan penawaran untuk tahun depan dijangka lemah dengan permintaan meningkat 1.1 juta tong sehari manakala penawaran daripada bukan pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) meningkat 1.7 juta tong sehari untuk mengimbangi pengurangan 600,000 tong sehari dalam bekalan dari Opec.


Kjus berkata permintaan di 34 negara OECD, yang merupakan lebih 50 peratus penggunaan minyak global, dijangka menyaksikan pertumbuhan yang kecil.


Beliau berkata tinjauan berkenaan berdasarkan kepada peningkatan kecekapan dalam kenderaan AS dan sentimen yang lebih baik dalam petunjuk ekonomi makro di Eropah pada beberapa bulan terakhir.


Sementara itu, bagi negara-negara bukan OECD, beliau berkata pertumbuhan permintaan minyak dijangka lemah kepada satu juta tong sehari daripada 1.1 juta tong sehari tahun ini dengan pertumbuhan KDNK yang lebih rendah serta dengan pengurangan pertumbuhan berorientasikan pelaburan.

- Bernama

P/S : kalau artikel macam ni banyak mana sangat lah orang nak baca..hehehehe

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu