Wednesday, October 9, 2013

Setuju Sekiranya Latar Belakang Pendidikan Jadi Syarat Utama untuk Calon Bertanding PAU ?

Sebelum tahun 2008, penulis bukan lah orang yang aktif dan mahu ambik tahu pasal hal-hal politik ni . Apa yang ditumpukan hanya kerja kerja dan kerja . Sebelum kerja pula , sibuk dengan pengajian kat IPTA, tahu pasal politik pun sikit-sikit je , tapi memang dalam diri tu rasa perasaan menyampah kalau ada beberapa 'student' yang cuba menghasut 'student' lain pasal politik . Ada yang taraf pengajian KS (Kedudukan Syarat - CGPA bawak 1.7) pun sibuk nak berpolitik menghasut orang itu dan ini .



Lepas saja tsunami 2008 ada rasa 'terbakar' sikit , masa tu mula ikut forum-forum di internet baca mengenai politik dan buat penilaian . Nampaknya bila berbahas, penyokong-penyokong di sebelah sana gemar menghina dan memberi pelbagai gelaran menjatuhkan maruah untuk penyokong-penyokong kerajaan BN , sejak dari itu penulis dah tahu siapa yang patut disokong .Jadi bila dah bergelumang dengan politik, dengar pulak cerita-cerita tak elok mengenai politik dalaman . Perkara cantas-mencantas , semua ni dipengaruhi dengan ucapan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir . Dr. M cakap , yang ada dalam UMNO tak ramai bijak pandai kerana ada budaya cantas mencantas.

Tun Mahathir kata , dalam sesebuah bahagian tu bila ada cerdik pandai yang cuba menonjol diri beliau akan dicantas oleh Ketua Bahagian yang kurang cerdik a.k.a takde kelulusan tinggi . Bila perkara ini berulang dan berterusan makan yang tinggal dalam UMNO ialah 'sampah-sampah' yang takde kelulusan tinggi tapi gila jawatan . Ini lebih teruk daripada 'sampah-sampah' ada kelulusan tinggi tapi gila jawatan .. secara logiknya terpaksa lah kita pilih yang paling kurang memudaratkan.

Hari ini dari artikel Bernama , Dato Rauf , sebagai Setiausaha Kerja UMNO berkata tiada had kelayakan akademik untuk bertanding pada pemilihan UMNO . Tak salah kata Dato Raof tu, sesiapa pun boleh bertanding tanpa mengira latarbelakang akademiknya . Tapi untuk transformasi dalam UMNO, kelayakan akademik mungkin perlu diambil kira untuk pemilihan yang akan datang. Tak perlu ditekan kriteria pemilihan akademik dengan memilih ijazah, master atau Phd . Cukuplah dengan sijil asas yang menunjukkan pengetahuan calon tu dalam bidang politik atau ekonomi.

Yang nak dipilih ni bakal memimpin negara, malu lah kalau takde asas akademik yang kukuh . Minta maaf cakap , rakyat pun tak confident dengan orang-orang macam ni . Orang kata 'popular' dalam parti , tapi luar parti hancur .Zaman ni ramai yang berkejar cari kelulusan tinggi , tengok sajalah keputusan SPM saban tahun makin mencanak-canak bilangan yang mendapat straight A's , agak-agak mereka yang bijak pandai ni sanggup ke berpemimpinkan orang yang kureng dari segi latar belakang akademiknya ? Penulis bukan bermaksud nak merendahkan mereka yang tiada kelulusan dalam UMNO, cuma bagi penulis sekiranya mereka benar-benar mahu bersama-sama mentransformasikan UMNO elok lah tambah ilmu secara part-time di mana2 IPTA, jangan beli 'ijazah' sudah lerr...

Berikut adalah artikel penuh dari Bernama

Tiada Had Kelayakan Akademik Untuk Bertanding Pada Pemilihan Umno - SU Kerja Umno

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Susulan pembatalan pencalonan seorang lagi tokoh akademik untuk bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, parti itu hari ini menegaskan ia tidak menetapkan sebarang kelayakan akademik untuk bertanding jawatan dalam parti.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata sebaliknya Umno hanya meminta mereka yang berminat menjadi calon untuk memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pernah menjadi anggota jawatankuasa bahagian atau anggota MT selama tiga tahun.

"Umno ada proses tersendiri yang menghendaki sesiapa yang mahu bertanding di peringkat tertinggi perlu masuk ke peringkat bahagian terlebih dulu. Untuk mentadbir urus Umno di peringkat akar umbi ke peringkat tertinggi perlu ada pengalaman yang cukup," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas pembatalan pencalonan Naib Ketua Pemuda Bahagian Selayang Prof Madya Dr Mohd Sazili Shahibi untuk jawatan anggota MT kerana tidak memenuhi syarat.

Pengguguran Mohd Sazili, yang juga Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) Universiti Teknologi Mara (UiTM) daripada senarai calon MT, menimbulkan cakap-cakap bahawa golongan cerdik pandai tidak mempunyai tempat dalam parti itu.

Sebelum ini, Pengerusi Tetap Umno Cawangan Gombak Setia Prof Datuk Dr Zainul Fithri Othman yang juga Timbalan Naib Canselor Management & Science University (MSU), turut digugurkan pencalonan atas sebab sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf memaklumkan calon kerusi Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri Umno, Salbiah Saari dari bahagian Tanjong Karang telah menarik diri dan dengan itu pencabarnya Nurul Huda Nordin Ahmad dari bahagian Tapah, menang tanpa bertanding.

Pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat oleh pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, katanya.

Terdahulu, Ab Rauf menyerahkan buku senarai calon untuk dijadikan panduan oleh perwakilan dan petugas media bagi pemilihan peringkat sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada Sabtu ini.

Buku itu yang mengandungi nama, nombor calon serta gambar individu yang menawarkan diri merebut jawatan diedarkan kepada perwakilan sejak semalam.

"Ini bagi memudahkan perwakilan tahu dan buat pilihan masing-masing. Ini kaedah baharu dalam pemilihan di mana ibu pejabat hanya mencetak kertas undi mengikut jawatan yang dipertandingkan dan bukan mengikut jumlah anggota yang bertanding," jelasnya.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu