Monday, July 8, 2013

Pembangunan Hartanah di Battersea Perlu Pasukan Pemantau

Sumber : Rakyatnews.my



Stesen Janakuasa Battersea yang menjadi salah satu mercu tanda di London secara rasminya telah dijual kepada Konsortium (SP Setia – Sime Darby - KWSP) dari Malaysia dengan harga 400 juta Pound Sterling pada September 2012.

Stesen janakuasa ini disenaraikan sebagai antara bangunan yang perlu dipulihara dengan mengambil kira faktor senibina unik dan kepentingan dari segi sejarah mengikut kod undang-undang di United Kingdom.

Dengan pembelian ini, pihak Konsortium akan membangunkan hartanah di sekitar stesen janakuasa disamping memulihara struktur asal bangunan.

Arkitek projek ini, Rafel Vinoly menyatakan bahawa pelan induk pembangunan hartanah di kawasan ini adalah berdasarkan prinsip-prinsip yang mengambilkira kepentingan alam sekitar, ekonomi dan juga sosial.

Rekabentuk Vinoly menjadikan bangunan stesen janakuasa itu sebagai pusat tumpuan yang dikelilingi kawasan perumahan dan komersil di kawasan seluas 40 ekar itu.

Selain pemulihan Stesen Janakuasa yang bersejarah itu sendiri, sebuah taman rekreasi berhampiran sungai turut termasuk dalam pelan pembangunan.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang berada di London sejak Selasa lalu (2 Julai 2013) telah bersama-sama dengan rakan sejawatnya David Cameron melancarkan upacara pecah tanah bagi memulakan kerja-kerja pembangunan.

Sedar dengan potensi hartanah di kawasan seluas 40 ekar itu, beberapa usaha telah dilakukan untuk membangunkan kawasan itu sejak penutupan Stesen Janakuasa Battersea pada tahun 1975.

Antara syarikat-syarikat yang terlibat ialah Alton Towers Limited, Parkview International , Real Estate Oppurtunities, dan Farrel & Partners . Pemilik 'Chelsea Football Club' juga menunjukkan minat untuk membina sebuah stadium di kawasan itu yang mampu menempatkan sehingga 75,000 peminat bolasepak .

Pada Februari 2012, hartanah di Stesen Janakuasa Battersea telah dibuka untuk penjualan secara pasaran terbuka. Antara syarikat yang membida ialah Chelsea F.C , SP Setia , London & Regional dan Berkeley. Usaha – usaha pembangunan yang dijalankan sebelum ini telah mengalami kegagalan terutama dari segi peningkatan kos dan sumber kewangan.

Sejarah kegagalan pembangunan hartanah di Stesen Janakuasa Battersea sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak di Malaysia samada pelaburan KWSP dalam projek ini mampu untuk memberi faedah dan pulangan.

KWSP mempunyai 20 peratus kepentingan dalam Konsortium , manakala SP Setia dan Sime Darby masing-masing 40 peratus. Kos pemuliharaan dan pembangunan semula stesen janakuasa yang telah dihentikan operasinya selama 30 tahun itu dianggarkan mencecah 600 juta Pound Sterling.

Presiden dan juga CEO SP Setia , Tan Sri Liew Kee Sin baru-baru ini dalam kenyataan beliau kepada media telah berkata bahawa fasa pemuliharaan bangunan stesen janakuasa itu dijangkakan akan bermula pada tahun ini.

Projek pembangunan di kawasan ini akan di lakukan dalam dua fasa . Fasa pertama yang melibatkan pembinaan 866 unit apartment yang dibangunkan mengelilingi stesen janakuasa dikatakan telah hampir habis dijual (824 unit sehingga artikel ini ditulis) kepada pelabur dalam dan luar negara apabila dilancarkan pada awal tahun 2013.

Menurut satu laporan, dianggarkan nilai pembangunan kasar (GDV) bagi pembangunan fasa pertama untuk projek ini ialah 850 juta Pound Sterling. Pembangunan fasa pertama ini secara rasminya bermula dengan pelancaran pecah tanah oleh Perdana Menteri Malaysia bersama-sama rakan sejawatnya David Cameron. Pembangunan fasa pertama ini dijangka siap pada tahun 2016

Menurut CEO BPS (Battersea Power Station), Rob Tincknell, pembangunan fasa kedua akan dimulakan dengan kerja-kerja memulihara dan mengukuhkan struktur luaran stesen janakuasa pada tahun ini, manakala kerja-kerja bahagian dalaman pula dijangkakan bermula pada tahun 2014.

Keseluruhan projek ini dijangkakan siap sepenuhnya pada tahun 2019 . Bagi memastikan projek ini berjalan dengan lancar mengikut jadual dan didalam kos yang telah ditetapkan, pemantauan yang teliti seharusnya dilakukan diperingkat awal pembangunan lagi.

Selepas zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir, terdapat beberapa projek mega yang lewat siap daripada jadual asal hingga memberi imej yang buruk pada kerajaan yang memerintah kerana dikatakan gagal dalam memantau perjalanan projek yang melibatkan wang rakyat.

Projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang dan KLIA2 merupakan contoh paling ketara , tambahan pula baru-baru ini terdapat masalah kegagaalan struktur dalam Pakej 9A projek pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang yang mengakibatkan kehilangan nyawa .

Di atas kertas, pembangunan hartanah di kawasan seluas 40 ekar yang menjadikan Stesen Janakuasa Battersea sebagai mercu tanda dilihat bakal memberi pulangan yang besar kepada pemaju. Tambahan pula nilai hartanah di sekitar kawasan projek pembangunan turut meningkat secara mendadak.

Namun sekiranya, projek gagal disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan serta melibatkan peningkatan-peningkatan kos yang tidak dijangka , ia bakal memberi impak yang sangat negatif kepada negara memandangkan KWSP yang merupakan salah satu agensi kerajaan terlibat secara langsung dalam pembangunan ini.

Selain itu sumber kewangan SP Setia dan Sime Darby juga diperoleh dari Khazanah Nasional Berhad iaitu sebuah lagi agensi kerajaan yang sebelum ini juga banyak 'menyelamatkan' beberapa syarikat gergasi dalam negara.

Sekiranya pilihanranya diadakan 5 tahun dari sekarang, dan pada masa yang sama pembangunan hartanah di Battersea mempunyai pelbagai masalah dan dijangkakan lewat siap daripada tarikh yang sepatutnya, maka kegagalan projek ini pasti akan dijadikan salah satu isu panas untuk dijaja pada pengundi-pengundi.

Dengan pelbagai kontroversi projek-projek mega sebelum ini, kegagalan dalam melaksanakan pembangunan hartanah di Battersea bukanlah satu pilihan kerana rakyat pasti sudah muak untuk menerima berita mengenai kegagalan projek-projek mega oleh kerajaan samada dari dalam atau luar negara.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu memikirkan mekanisma bagi memastikan pengurusan dan perjalanan projek ini adalah lancar . Mungkin satu jawatankuasa yang diketuai oleh Perdana Menteri sendiri perlu ditubuhkan bagi memantau perjalanan projek ini.

Pernah diwar-warkan pada satu ketika dahulu apabila Putrajaya dan KLCC dalam proses pembinaan, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir sendiri memantau perjalanan projek malah dikatakan beliau secara mengejut melawat tapak-tapak pembinaan di malam hari bagi melihat sendiri status projek.

Kaedah pemantauan yang dibuat oleh Tun ini boleh dikatakan agak berkesan kerana mereka yang terlibat menguruskan perjalanan projek akan sentiasa berada dalam keadaan 'berjaga-jaga' kerana sedar projek berkenaan dipantau sendiri oleh Perdana Menteri .

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu