Tuesday, July 9, 2013

Kaji Juga Akta Keharmonian Negara Jika 'Flip-Flop' Akta Pentadbiran Islam

Sebelum ini kerajaan pernah membuat cadangan supaya pindaan Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 yang membenarkan pengislaman kanak-kanak bawah umur dengan persetujuan hanya seorang ibu atau bapa sahaja.

Dalam satu kenyataan akhbar, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa pindaan adalah berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan peruntukan Perlembagaan . Walau bagaimanapun, cadangan bagi pindaan itu tidak diteruskan apabila mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk komponen parti Barisan Nasional sendiri .

Bantahan ini dikuatkan lagi dengan hujah bahawa terdapat percanggahan dengan keputusan Kabinet pada 2009 yang tidak membenarkan penukaran agama secara satu pihak sahaja.

Rentetan daripada isu yang timbul ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah membuat kenyataan media yang disiarkan pada 8 Julai 2013 bahawa kerajaan telah menarik balik Rang Undang-Undang Akta Pentadbiran Islam (Wilayah Persekutuan) 2003.

Di satu sudut, tindakan yang dilakukan oleh kerajaan pusat ini seolah-olah dilihat satu keputusan yang 'flip-flop' . Persoalan timbul iaitu mengapa tindakan menarik kembali rang undang-undang ini dilakukan hanya apabila timbul bantahan ? Penafian Datuk Seri Jamil Khir bahawa penarikan rang undang-undang berkenaan adalah akibat daripada tekanan adalah diragui.

Mungkin sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan menjadi lebih tegas dalam polisi undang-undang yang telah dipersetujui dan tidak mudah goyah apabila mula mendapat tekanan daripada segelintir pihak yang lantang bersuara. Pihak kerajaan juga seharusnya meneliti terlebih dahulu sedalamnya pro dan kontra sesuatu rang undang-undang yang ingin dicadangkan untuk mengelakkan sindrom 'flip flop' yang dilihat makin menjadi-jadi akhir-akhir ini.

Misalnya, pada satu ketika Program Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPMSI) yang diperkenalkan semasa zaman pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad terpaksa dihentikan apabila mendapat bantahan secara besar-besaran daripada pihak pembangkang dan beberapa NGO Melayu.

Namun selepas beberapa tahun program itu dihentikan, muncul pula beberapa NGO yang disokong pembangkang menuntut supaya program PPMSI dikembalikan . Ironinya, pembangkang dan NGO yang meminta supaya PPMSI dimansuhkan dan kemudian dikembalikan adalah dari kumpulan yang serupa.

Senario ini menunjukkan seoalah-olah kerajaan yang ditunjangi parti Barisan Nasional mudah diperkotak-katikan dengan tuntutan-tuntutan 'flip-flop' dari pihak pembangkang.

Sesuatu rang undang-undang yang dibentangkan seharusnya perlu mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak dan bukan sahaja dari kumpulan-kumpulan yang tertentu. Keputusan yang dibuat apabila membentangkan sesuatu rang undang-undang itu perlu bersandarkan kepada hujah dan maklum balas yang mengambilkira kepentingan umum.

Walau bagaimanapun, sekiranya ada keputusan yang dibuat tanpa mengambilkira pandangan dan kepentingan umum , ia seharusnya menjadi satu pilihan yang nekad dan tegas tanpa perlu menoleh ke belakang lagi. Kerajaan yang membuat keputusan berdasarkan 'acid test' akan dilihat lemah oleh rakyat . ('acid test' ialah terma bagi satu ujikaji yang kritikal bagi menentukan kejayaan atau keberhasilan sesuatu keputusan itu) .

Sekiranya pilihan nekad yang dibuat pada peringkat awal itu ditarik semula, dan terpaksa dibuat pindaan semula berdasarkan tinjauan umum , adalah lebih baik keputusan 'nekad' yang dilakukan sebelum itu tidak dibentangkan kerana ia hanya menunjukkan kerajaan gagal menentukan hala tuju sebenar dalam dasar yang telah dibentangkan kerana ia boleh dipinda pada bila-bila masa apabila wujud tekanan.

Tidak dinafikan undang-undang boleh dipinda mengikut kesesuaian, perkembangan semasa dan peredaran zaman. Namun pindaan yang dibuat seharusnya mengkaji keberkesanan undang-undang yanag sedia ada dan kesan positif atau negatif sekiranya pindaan dilakukan .

Pindaan yang dilakukan seharusnya menjadi 'lebih baik' daripada undang-undang asal. Definisi 'lebih baik' ini mungkin berbeza mengikut individu, namun penanda aras perlu dirujuk berdasarkan keberkesanan undang-undang asal. Contoh paling ketara ialah apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Kesalahan Kesalamatan (Langkah Langkah Khas 2012). Keberkesanan akta baru ini dipersoalkan terutama semasa berlaku pencerobohan pengganas-pengganas dari Sulu di Lahad Datu.

Beberapa individu dari Malaysia yang dikatakan mempunyai kaitan dalam pencerobohan yang mengorbankan 8 orang pihak keselamatan negara itu masih bebas walaupun terdapat bukti-bukti daripada perisikan negara Filipina dan Malaysia sendiri.

sumber : Rakyatnews



Baru-baru ini timbul satu lagi isu berkenaan rang undang-undang Akta Hasutan . Beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat mendesak Datuk Seri Najib menyatakan pendirian beliau mengenai pemansuhan akta ini dengan merujuk kepada pengumuman beliau untuk memansuh Akta Hasutan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, pada Julai 2012.

Walau bagaimanapun, beberapa orang Menteri telah jelas menyatakan bahawa walaupun perkara itu akhirnya akan diputuskan oleh Perdana Menteri, namun perbincangan mengenai pemansuhan akta berkenaan perlu dilakukan terlebih dahulu dengan Menteri-Menteri Kabinet yang lain.


Berbalik kepada keputusan yang 'flip flop' ,sekiranya kita mengambil contoh tindakan kerajaaan yang menarik semula Rang Undang-Undang Akta Pentadbiran Islam (Wilayah Persekutuan) 2003 dan tidak kisah di label 'flip flop' , mengapa kerajaan tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama untuk mengekalkan Akta Hasutan dan jadikan ia keputusan 'flip flop' yang terakhir ?

Mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan menjadi lebih tegas dalam membentangkan dan melaksanakan rang undang-undang bagi mengelakkan kumpulan-kumpulan tertentu mengambil kesempatan dari kelonggaran yang diberikan. Mengambil contoh ketua dan pengikut yang berada dalam belantara luas. Ketua memainkan peranan penting dalam mengemudi kumpulannya ke tempat yang selamat, keputusan yang dibuat perlulah tegas bagi menimbulkan keyakinan dan kepercayaan pengikut terhadap ketua.

Sekiranya ketua berada dalam keadaan teragak-agak, keyakinan dan kepercayaan pengikut terhadap ketua akan turut goyah seterusnya bakal menimbulkan pelbagai konflik dan isu kepercayaan. Senario sebegini hanya akan melemahkan kumpulan itu sendiri dan menyebabkan perpecahan yang akhirnyamenjadikan kumpulan itu semakin lemah.

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu