Tuesday, June 11, 2013

Raja-raja Melayu Bukan Sekadar Simbol

Berikut adalah satu artikel menarik dari Berita Harian (11/6/2013) mengenai raja-raja Melayu. Rakyat mungkin terkeliru dengan menganggap rajauraja Melayu hanya simbol semata-mata tanpa mempunyai fungsi2 lain dalam pentadbiran. Penulisan dari Prof Madya Ahmad Ibrahim dari Kulliyah Undang-undang ;

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Raja-RajaMelayubukansimbol/Article

"Ketika menjadi panel pada satu forum isu semasa, seorang peserta bertanya mengenai pendapat yang menolak pembabitan Raja-Raja dalam semua hal berkaitan pentadbiran negara. Katanya, bagi negara yang mengamalkan demokrasi, Raja hanyalah simbol semata-mata tanpa tanggungjawab. Saya kongsi sebahagian jawapannya di sini.
Pendapat itu tidak tepat. Negara kita mengamalkan dua sistem berkembar, iaitu demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Kedua-dua sistem ini bergerak secara bersama dan perlu lengkap melengkapi antara satu sama lain menurut falsafah atau acuan negara.
Negara kita mengamalkan dua sistem berkembar, iaitu demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Kedua-dua sistem ini bergerak secara bersama dan perlu lengkap melengkapi antara satu sama lain menurut falsafah atau acuan negara.

Keduanya umpama tiang menunjangi negara. Satu daripadanya tidak boleh dilupai kerana ia boleh membinasakan keseluruhan negara. Apa yang perlu dilakukan ialah mengimbangi kedua-duanya sehingga menjadi pelengkap antara satu sama lain, bukan kompetitif atau berlawanan.

Kedua-dua sistem itu mempunyai tanggungjawab masing-masing. Namun, kita tidak dapat mengelak daripada pertembungan antara kedua-duanya. Pertembungan ini berlaku kerana keadaan, budaya serta sejarah yang membentuk latar dan landskap negara.

Pindaan kepada Perkara 66 pada 1983 dan seterusnya 1994 menjadi antara contoh pertembungan. Pindaan terbabit dianggap sesetengah pihak sebagai mengikis kuasa Raja. Tetapi, jika dilihat dari satu sudut lain, ia bertujuan mengukuhkan demokrasi.

Konvensyen Westminster
Pada peringkat Persekutuan, peruntukan asal Perlembagaan mewajibkan setiap Rang Undang-Undang mendapat mohor besar Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan dan seterusnya beroperasi sebagai undang-undang. Sekiranya tidak mendapat mohor besar Yang di-Pertuan Agong, Rang Undang-Undang terbabit tidak boleh diwartakan dan tidak boleh menjadi undang-undang.

Ia kemudian dipinda sehingga kepada apa yang ada sekarang. Sekiranya tidak mendapat mohor besar Yang di-Pertuan Agong dalam masa 30 hari, rang undang-undang itu boleh diwarta dan beroperasi. Bagaimanapun, pada peringkat negeri masih ada negeri yang masih mengekalkan syarat mohor besar Raja-Raja dalam Perlembagaan negeri.

Dalam konvensyen Westminster, Raja tidak pernah enggan memberikan mohor besar kepada rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Ini bagi meraikan demokrasi berparlimen. Bagi negara kita, sejarah perundangan memperlihatkan bahawa Perlembagaan negeri meletakkan kuasa legislatif dalam bidang kuasa Raja.

Keadaan mula berubah dengan Perjanjian Persekutuan 1948, bila mana Raja-Raja bersetuju menjadi Raja Berperlembagaan dan sebahagian besar kuasa Raja, termasuk kuasa legislatif diserahkan kepada majlis perundangan. Begitu juga dengan Perlembagaan 1957, tetapi mengekalkan syarat mohor besar Yang di-Pertuan Agong dan pada peringkat negeri, mohor besar Raja.

Punca perbezaan

Pindaan kepada Perkara 40 Perlembagaan juga boleh dijadikan contoh. Pindaan terbabit memasukkan fasal (1A) yang menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut atas nasihat jemaah menteri berkenaan apa juga peranan dan fungsi yang memerlukan baginda bertindak atas nasihat. Pindaan Perlembagaan ini juga satu cedukan daripada konvensyen Perlembagaan Westminster.

Pada peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hanya lahir ketika pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957. Institusi ini agak baru berbanding institusi Raja di Negeri-Negeri Melayu. Kita lihat Terengganu sebagai contoh. Dalam Itqan al-Muluk bi ta'dil al-Suluk Terengganu yang diisytiharkan pada 1911 itu meletakkan kuasa sangat luas kepada Sultan. Kuasa bertumpu kepada Sultan walaupun menghendaki Sultan mengendalikan pentadbiran negara menerusi mesyuarat atau perbincangan dengan Jemaah Menteri dan juga ada disebut ahl al-hal wal' 'aqd.

Oleh itu, sejarah dan perundangan terdahulu mungkin menjadi punca perbezaan dari segi 'sentimen' mengenai Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen di Negeri-Negeri Melayu.

Menjadi pelengkap

Yang pasti, Raja bukan hanya sekadar simbol dalam sistem demokrasi kita. Baginda mempunyai fungsi dan peranan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan negeri.

Kuasa Raja dalam soal mohor besar sebagai contoh, boleh menjadi penapis kepada 'demokrasi mutlak'. Ia boleh bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang kepada tindakan pihak legislatif atau eksekutif menurut demokrasi.

Maka, di sinilah timbulnya konflik antara demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Mengelak daripada Raja mutlak, pada masa sama, juga menghindari demokrasi mutlak. Kita mestilah berhati-hati dalam hal ini supaya kedua-duanya menjadi pelengkap antara satu sama lain mengikut acuan kita. Apa yang pasti kita mahukan kedua-duanya kekal bersama.

Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM"
Sent from my BlackBerry® smartphone over the TuneTalk network

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu