Monday, June 3, 2013

Kecelaruan Sokongan Perjuangan Agenda Melayu oleh UMNO.

Pemilihan UMNO yang akan diadakan pada tahun ini bakal menyaksikan seramai 146,500 perwakilan akan memillih kepimpinan baru yang bakal menerajui UMNO untuk tempoh 5 tahun akan datang.


Ramai berpendapat pemilihan kali ini akan menjadi gambaran sebenar kepimpinan UMNO yang dimahukan akar umbi dengan hanya tidak mengambilkira undi dari wakil-wakil bahagian. Sekiranya pemilihan UMNO yang lepas dikatakan terdedah dengan 'politik wang' , manipulasi undi perwakilan dengan 'politik wang' dilihat agak mustahil untuk pemilihan kali ini.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang bakal bertanding ini mungkin akan dinilai berdasarkan kemampuan untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dalam memperjuangkan agenda Melayu . Sama seperti pemilihan-pemilihan yang lepas, mereka yang berhasrat untuk dicalonkan akan cuba menonjolkan diri dalam isu-isu yang berkaitan kepentingan Melayu.

Pemilihan UMNO yang akan diadakan kali ini mungkin bakal menjadi agak 'panas' memandangkan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO gagal mendapat majoriti 2/3 dalam membentuk kerajaan. Walaupun UMNO memperoleh rekod cemerlang dengan memenangi 88 kerusi parliamen daripada 120 yang dipertandingkan (peningkatan sebanyak 9 kerusi berbanding 79 kerusi yang dimenangi pada 2008), adalah menjadi satu kelaziman bagi ahli-ahli UMNO untuk menilai prestasi kepimpinan UMNO berdasarkan jumlah keseluruhan kerusi yang dimenangi Barisan Nasional secara keseluruhannya.

Perlu diketahui kemenangan UMNO adalah di kerusi-kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu. Namun di beberapa kerusi Parlimen ini, majoriti undi yang diperoleh UMNO agak tipis terutama di kawasan yang menjadi kubu kuat PAS. Dalam keadaan sebegini, undi minoriti bukan Melayu memainkan peranan dalam menentukan kemenangan calon.

Keputusan pilihanraya 2013 yang menunjukkan perubahan sokongan kaum Cina terhadap Pakatan Rakyat telah menimbulkan satu persepsi di kalangan akar umbi UMNO bahawa Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri kini seharusnya lebih memberi tumpuan terhadap kaum Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dalam membantu kemenangan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan.

Isu sebegini mungkin akan kerap dibangkitkan dalam pemilihan UMNO yang akan datang . Mereka yang dilihat lantang dalam memperjuangkan agenda Melayu mungkin berpeluang memperoleh undi dari perwakilan yang hadir. Namun pada masa kini, ahli-ahli UMNO perlu sedar bahawa suara dari UMNO tidak melambangkan suara orang-orang Melayu itu secara keseluruhannya.

Sekiranya diteliti, Melayu pada hari ini terbahagi kepada 3 golongan . Golongan pertama ialah Melayu yang masih kuat berpegang pada tradisi bangsa itu sendiri. Golongan kedua ialah Melayu yang condong dalam memperjuangkan agama Islam dan golongan yang ketiga ialah Melayu bandar yang dilihat lebih liberal. Untuk menjadi relevan mewakili kaum Melayu secara keseluruhannya, UMNO perlu memenangi hati ketiga-tiga golongan ini.

Walau bagaimanapun, pasca PRU-13 menunjukkan ramai ahli-ahli UMNO 'bersuara' dan dilihat cenderung untuk kekal relevan hanya untuk golongan yang pertama. Mungkin pada tahun 2013, kita boleh andaikan peratusan golongan Melayu pertama, kedua dan ketiga berada dalam nisbah 50:30:20 tetapi adakah nisbah ini akan terus kekal pada tahun 2018?

Dengan pembangunan yang dialami negara ini dari segi teknologi maklumat, kewujudan bandar-bandar baru dan beberapa lagi elemen 'kemajuan' yang lain, adalah tidak mustahil pola pemikiran orang Melayu akan turut berubah menjadikan nisbah peratusan golongan Melayu tadi berubah pada 40:30:20 dalam tempoh lima tahun akan datang. Kewujudan golongan Melayu liberal ini harus diberi perhatian serius oleh UMNO kerana kebanyakkan daripada mereka ini adalah dari generasi muda . Malah terdapat kecenderungan anak-anak orang Melayu yang berasal dari kampung menjadi Melayu liberal apabila berhijrah di bandar dan konsep dibawa oleh Pakatan Rakyat lebih mudah diterima mereka.

Penulis berpendapat, Melayu adalah bangsa yang mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru dan secara tak langsung persekitaran ini juga mampu mencorakkan pemikiran mereka terhadap ideologi-ideologi tertentu. Berbeza dengan bangsa Cina, mereka dilihat begitu mempertahankan identiti budaya walau di mana saja mereka pergi. Maka tak hairanlah, wujud apa yang kita namakan sebagai 'Chinatown' di seluruh dunia.

Ahli-ahli UMNO mungkin perlu mengkaji mengenai pendapat tentang 3 golongan Melayu yang telah dinyatakan di atas. Daripada 3 golongan yang dinyatakan berapakah peratusan daripada mereka yang mahu terus bersama-sama memperjuangkan agenda Melayu ? Adakah golongan kedua yang cenderung dalam memperjuangan agama Islam dan golongan ketiga yang liberal peduli dengan agenda Melayu ?

Secara peribadi, penulis berpendapat agenda Melayu adalah penting untuk dipertahankan kerana perkara yang serupa dilakukan oleh kaum Cina dan India dalam mempertahankan kepentingan kaum masing-masing. Cuma timbul rasa bimbang apabila golongan Melayu kedua dan ketiga yang dinyatakan sebelum ini dimanipulasi oleh kumpulan tertentu untuk menjayakan perancangan mereka seterusnya menggugat agenda Melayu yang diperjuangkan UMNO.

Oleh yang demikian, adalah menjadi satu tugas sukar bagi Presiden UMNO untuk mendapatkan sokongan kaum Melayu dari golongan kedua dan ketiga ini . Ternyata kenyataan-kenyataan drastik NGO-NGO Melayu seperti PERKASA dan JATI dalam mempertahankan kepentingan Melayu seolah-olah mendapat respon negatif terutama dari golongan Melayu ketiga (liberal) yang secara jelas menolak perjuangan NGO-NGO ini.

Kepimpinan UMNO perlu memikirkan satu mekanisma yang bijak untuk menarik kembali sokongan dari golongan kedua dan ketiga ini tetapi pada masa yang sama terus memperjuangkan agenda Melayu melalui 'pengurusan' yang bijak supaya tidak dilihat ekstrim atau bersifat perkauman melampau oleh orang-orang Melayu dari golongan kedua dan ketiga ini .

Ahli-ahli UMNO juga mempunyai pilihan untuk membuat perubahan semasa pemilihan UMNO yang akan datang ini bagi menjadikan UMNO sebuah parti yang lebih 'keras' perjuangannya dalam mempertahankan agenda Melayu. Persoalan samada kaedah ini mampu menarik lebih ramai orang Melayu terutama dari golongan kedua dan ketiga untuk menyokong UMNO adalah sesuatu yang subjektif dan 'trend' semasa mungkin boleh dijadikan sebagai indikator.

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu