Friday, June 14, 2013

Kebebasan Bersuara Perlu Berlandaskan 'Jati Diri Malaysia'

Dari petikan artikel KLPos.com



Soal kebebasan media terutama dalam media sosial sekali ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berpendapat kebebasan bersuara mestilah berasaskan 'jati diri Malaysia'.

Apabila dikatakan 'jati diri Malaysia' penulis beranggapan Najib merujuk kepada konteks nilai-nilai bangsa, budaya dan agama yang membina negara ini. Kebebasan bersuara rakyat negara ini haruslah disempadani dengan nilai-nilai tersebut.

Setiap negara mempunyai budaya yang berbeda. Kebebasan bersuara dalam memperjuangkan isu-isu tertentu yang dilihat sensitif pada rakyat adalah tidak sesuai dibicarakan secara terbuka.

Misalnya kebebasan bersuara dalam memperjuangkan hak kumpulan LGBT,hak samarata antara semua kaum di negara ini serta mempersoalkan sistem monarki dan undang-undang syariah yang diamalkan negara.

Tuntutan terbuka segelintir golongan yang menyentuh nilai-nilai berkaitan budaya, agama dan institusi raja dan kesultanan di negara ini bakal menimbulkan reaksi keras daripada sebahagian pihak yang lain. Masyarakat negara ini terutama golongan majoriti iaitu kaum Melayu masih berpegang kuat pada nilai-nilai budaya dan agama Islam.

Oleh yang demikian,kebebasan bersuara yang melangkaui sempadan yang dinyatakan sebelum ini mungkin menimbulkan impak yang negatif pada masyarakat berbilang kaum.

Sebelum kewujudan media sosial, kebebasan bersuara yang melampaui sempadan yang dinyatakan tadi boleh dikatakan terkawal memandangkan penyebaran maklumat melalui media-media cetak dan elektronik ditapis bagi menjaga sensitiviti rakyat di negara ini.

Walaubagaimanapun, senario ini mulai berubah apabila semakin ramai di kalangan masyarakat membuat kenyataan terbuka terutama di laman Facebook dan Twitter yang berunsur penghinaan kepada institusi beraja dan agama.

Walaupun kenyataan yang dibuat adalah pandangan peribadi individu berkenaan, namun secara tidak langsung kesan penyebaran kenyataan yang dibuat di laman media sosial itu dilihat sebagai satu cubaan menghasut dan menimbulkan suasana tidak tenteram dalam masyarakat. Bagi sesetengah pengguna, mereka akan menggunakan identiti 'anonymous' bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Golongan-golongan yang mempunyai pendirian sama dengan individu berkenaan akan melihat reaksi pihak berkuasa terhadap kenyataan yang dibuat. Sekiranya tindakan yang dikenakan adalah minima maka akan timbul anggapan bahawa isu yang dibangkitkan adalah tidak serius dan golongan-golongan ini akan terus mengulangi tuntutan-tuntutan mereka dengan alasan kebebasan bersuara.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu merangka satu mekanisma dalam mempromosikan undang-undang siber kepada masyarakat. Rakyat perlu diberikan kesedaran bahawa pendapat mereka dalam sesuatu perkara perlu dibatasi dengan apa yang Perdana Menteri katakan 'jati diri Malaysia' .

Mungkin masih ramai lagi rakyat di negara ini yang gagal memahami maksud 'jati diri Malaysia' . Contoh paling mudah, masih ada di kalangan rakyat negara ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik yang merupakan salah satu elemen dalam apa yang dikatakan 'jati diri Malaysia'.

artikel asal 

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu