Wednesday, May 8, 2013

'Tsunami Pengundi Cina' : Antara Sentimen Parti Politik dan Perkauman


Mandat memerintah kerajaan sekali lagi diberikan kepada Barisan Nasional (BN) bila 133 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan memihak kepada parti tersebut. Keputusan ini sedikit sebanyak mengejutkan banyak pihak terutamanya kepimpinan BN memandangkan pelbagai program-program yang mendahulukan rakyat telah dijalankan oleh Perdana Menteri, malah BR1M juga telah dilaksanakan sebanyak 2 kali , pemberian voucher buku dan pelbagai lagi pemberian yang menguntungkan rakyat . Apa yang diusahakan oleh Perdana Menteri selama ini menguntungkan semua kaum dan tiada yang tersisih, dan Perdana Menteri kerap kali turun sendiri ke bawah untuk mendengar suara rakyat.

Banyak pembaikan telah dilakukan, jadi tidak ada sebab untuk rakyat menolak BN kerana sepanjang di bawah pentadbiran Najib pelbagai kenikmatan telah diperoleh malah ekonomi negara agak baik. Di sebalik pelbagai tekanan terutama tuduhan-tuduhan yang dilempar pembangkang pada Najib dan isteri beliau , Najib tetap fokus dalam memenuhi aspirasi BN yang berusaha mengutamakan keselesaan rakyat. Ini adalah hakikat yang telah berlaku dan bukan dongengan yang sengaja dibuat oleh penulis untuk 'membodek' pemerintah. Gunakan ilmu ekonomi yang ada dan lihat sendiri data-data yang memberangsangkan di bawah kepimpinan Najib.

Keputusan PRU-13 jelas menunjukkan sokongan melonjak kaum Melayu , kaum bumiputera Sabah & Sawarak dan juga kaum India kepada parti BN. Tidak dinafikan terdapat kaum Cina yang menyokong BN tetapi bilangannya tidak lah seramai yang di sangka. Mungkin terlalu rendah peratusannya.  Hal ini telah dijangka apabila melihat protes-protes dan demonstrasi jalanan yang disertai oleh bilangan kaum Cina yang agak ramai. Indikator yang baik ialah apabila Najib cuba dimalukan oleh segelintir yang hadir semasa konsert Tahun Baru Cina di Pulau Pinang.

Namun kepimpinan BN pada ketika itu mungkin yakin bahawa jumlah yang menyokong pasti lebih ramai memandangkan prestasi ekonomi yang baik serta dasar-dasar kerajaan yang mengutamakan rakyat. Malah bantuan-bantuan yang telah diberikan kepada pertubuhan-pertubuhan dan sekolah-sekolah Cina dijangka dapat menarik sokongan mereka . Ternyata jangkaan itu meleset sama sekali apabila majoriti kaum Cina seperti menganggap stigma bantuan kepada pertubuhan dan sekolah-sekolah Cina sudah lapuk . Mungkin kaedah ini berkesan dahulu , namun dengan kepesatan pembangunan ekonomi di Malaysia , ramai di kalangan kaum Cina telah bergelar jutawan . Mereka tidak perlu menunggu kerajaan untuk memberi sumbangan atau bantuan kepada institusi-institusi yang dinyatakan tadi kerana mereka sendiri mempunyai kemampuan untuk berbuat sedemikian.

Di sebalik dakwaan kemerosotan bilangan kerusi yang dimenangi BN adalah disebabkan 'Tsunami Cina' , pemimpin -pemimpin Pakatan Rakyat (PR) pula memberikan pandangan yang berbeza . Mereka yakin bahawa corak pengundian adalah 'Tsunami Rakyat Malaysia' dengan memberikan contoh kaum Melayu bertanding di bawah PR mampu menang dengan sokongan yang diberikan oleh kaum Cina . Penulis pula berpendapat , apa yang dimaksudkan oleh Najib dengan istilah 'Tsunami Cina' ialah sokongan yang diberikan oleh kaum Cina terhadap BN merosot dengan teruk apabila majoriti mereka memberikan undi kepada calon PR tanpa mengambil kira soal bangsa.

Pemerintahan di Malaysia mungkin akan berjaya di ambil alih oleh PR sekiranya mereka mendapat sokongan majoriti kaum Melayu, bumiputera Sabah & Sarawak serta India. Namun statistik kemenangan kerusi parlimen menunjukkan golongan yang dinyatakan tadi memberi sokongan yang kuat kepada UMNO apabila berjaya memperoleh 88 kerusi parlimen daripada 120 kerusi yang dipertandingkan iaitu 73% ,  begitu juga dengan lain-lain politik dari Sarawak yang memperoleh peratusan kemenangan yang tinggi. Hakikatnya sokongan rakyat di kawasan urban yang mempunyai ramai pengundi kaum Cina menyebabkan banyak kerusi yang dipertandingkan BN tewas dengan majoriti yang besar walaupun meletakkan calon kaum Cina.

Secara dasarnya ini menolak dakwaan wujudnya corak undian perkauman yang ditimbulkan oleh segelintir pihak. Namun begitu, apabila melihat corak sebaran bahan kempen dan peranan yang dimainkan oleh bahan-bahan cetak serta media sosial , PR seolah-olah berjaya menanam stigma kepada kaum Cina bahawa UMNO menguasai BN secara total dan pemimpin parti-parti komponen yang lain seolah-olah tiada suara di dalam gabungan itu . Stigma ini mula ditiupkan apabila tsunami politik 2008 berlaku dan terus dimainkan secara konsisten hingga sekarang. Faktor Parti Islama Malaysia (PAS) yang dilihat lebih mudah untuk bertolak ansur dengan pengundi bukan Islam dalam soal-soal berkaitan agama juga sedikit sebanyak berjaya menarik pengundi Cina terutama di Selangor yang akhirnya menggagalkan usaha BN bagi merampas negeri itu.

Peranan yang dimainkan oleh parti DAP yang kini dilihat dominan dalam PR merupakan faktor terpenting apabila berjaya mempengaruhi dasar-dasar PR  terutama di negeri Pulau Pinang , Selangor dan pada suatu ketika dahulu Perak. DAP seolah-olah diberikan kepercayaan oleh kaum Cina untuk menjadi 'penyelamat' dan 'pelindung' atas kelantangan mereka bersuara dalam gabungan Pakatan Rakyat. Malah PAS yang dilihat cuba membangkitkan soal negara Islam beberapa kali telah ditempelak oleh pimpinan DAP sekaligus ini memberikan keyakinan kepada pengundi-pengundi Cina yang dilihat sejak dahulu lagi agak gusar dengan cadangan penubuhan negara Islam di Malaysia.

Selain itu kehadiran beberapa pemimpin dari parti PKR berbangsa Cina yang dilihat agak vokal dan agresif dalam memperjuangkan isu-isu berbangkit mungkin menjadi daya tarikan kepada pengundi-pengundi Cina. Adalah tidak keterluan untuk mengatakan parti komponen BN seperti MCA dan GERAKAN sudah ketandusan pemimpin-pemimpin berstatus 'ikon' kepada kaum Cina seperti mendiang Tun Tan Cheng Lock, Tun Dr. Lim Keng Yeik dan Tun Dr Lim Chon Eu. Aura pemimpin-pemimpin ini kepada kaum Cina adalah seperti aura Tun Dr. Mahathir kepada kaum Melayu dan aura Tun V.T Sambathan kepada orang India.
Oleh yang demikian tidak timbul soal pengundi-pengundi Cina bersikap perkauman .

Apa yang dipercayai wujud hanyalah peralihan sokongan besar kaum Cina akibat dari faktor-faktor yang dinyatakan di atas iaitu mempercayai dakwaan bahawa UMNO bersifat 'kuku-besi' dalam gabungan komponen-komponen parti Barisan Nasional seperti yang diwar-warkan parti lawan , faktor PAS yang lebih bertolak ansur dalam perjuangan negara Islam , kelantangan DAP dalam menjadi suara kaum Cina dalam gabungan parti komponen dalam PR dan kewujudan 'ikon-ikon' yang vokal dari kalangan kaum Cina dalam parti PKR dan DAP. Survival politik BN untuk 5 tahun akan datang bakal ditentukan dengan kaedah bagaimana parti itu mendekati rakyat.

Kaedah lapuk seperti mengadakan program-program keramaian bersama rakyat terbukti gagal menunjukkan sokongan sebenar mereka , rakyat kini dilihat lebih teruja apabila pemimpin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama-sama mereka. Komunikasi antara pemimpin dan rakyat harus berlaku dari hati ke hati secara konsisten dalam kumpulan-kumpulan yang kecil . Mungkin dengan cara ini lah denyut nadi sebenar rakyat Malaysia dapat didengari baik dari kaum Melayu , Cina , India , Iban , Kadazan dan lain-lain lagi . Tugas ini tidak seharusnya menjadi tanggungjawab Perdana Menteri sahaja , malah Menteri , Timbalan Menteri , ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri secara konsisten terus mendekati diri pada rakyat. Ternyata kaedah ini memberikan kesan dan kelebihan yang sangat besar kepada barisan pemimpin PR yang mempraktikannya disebalik segala skandal dan tuduhan yang dihadapi.

sumber : KLPos.com

1 comments:

Memang Kera dihutan disusukan
Konon menunuggu biduk berlalu

tempayan air dah tercurah
Walaupun Lama menyorong Pipi
Sampai Sikadok naik junjong

berpatah arang berkerat rotan

ulam dah datang
Cendana pulak pulak

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu