Thursday, November 15, 2012

Kenyataan Dato’ Sri Ir. Mohd Zin Mohamed mengenai kenaikan harga rumah di Selangor


Kenyataan Dato’ Sri Ir. Mohd Zin Mohamed mengenai kenaikan harga rumah di Selangor


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

  1. Saya ingin menarik perhatian kita semua mengenai beberapa aduan dan permasalahan rakyat yang di terima dari Pusat Khidmat Rakyat (PAKAR) Barisan Nasional. Antara masalah yang diterima selain dari masalah infrastruktur, penduduk Selangor juga turun membuat aduan mengenai masalah kenaikan harga rumah yang begitu mendadak di Selangor ini.

  1. Pihak BN Selangor meneliti masalah ini dengan serius dan menganggap masalah ini sebenarnya berpunca dari kelemahan Kerajaan Negeri mengurus dan mengawal isu perumahan dengan baik dan berkesan.

  1. Difahamkan, Dato’ Sri Anwar Ibrahim pernah mengumumkan bahawa akan memperuntukan RM500 juta untuk pembinaan rumah kos rendah di Selangor dan Pulau Pinang sebelum ini. Namun begitu, beliau tidak menyatakan jumlah sebenar yang diperuntukan untuk negeri Selangor.

  1. Persoalannya, kenapakah setelah lebih empat tahun memerintah, baru pengumuman ini dibuat? Tambah mengelirukan, pengumuman ini dibuat sejurus selepas Perdana Menteri mengumumkan beberapa peruntukan untuk membina rumah mampu milik dalam Bajet 2013 yang lalu.

  1. Pihak Pakatan juga dengan melulu menuduh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional sepatutnya bertanggungjawab untuk membina rumah kos rendah namun suka saya mengingatkan bahawa segala hal berkaitan dengan tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri. Sepatutnya, kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim terlebih dahulu berusaha untuk menyediakan rumah yang mampu dimiliki untuk rakyat Selangor.

  1. Di kesempatan ini, saya ingin memberikan jaminan kepada rakyat Selangor bahawa setelah Barisan Nasional memerintah Selangor kelak, masalah perumahan mampu milik ini akan diberikan perhatian khusus. Saya tidak boleh menyatakan angka-angka dengan spesifik namun perkara yang melibatkan rumah kos rendah atau mampu milik ini akan turut dimuatkan dalam manifesto Barisan Nasional untuk PRU akan datang. Ianya lebih meyakinkan rakyat memandangkan Barisan Nasional mengamalkan konsep Janji Ditepati.

  1. Ternyata kerajaan Pakatan sekarang lebih berminat dalam urusan korporat sehinggakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwujudkan untuk membantu rakyat memiliki rumah mampu milik turut dijadikan ‘vehicle’ untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan kebajikan rakyat.

  1. Jika corak pemerintahan sebegini berterusan, tidak mustahil akan timbul kembali penempatan setinggan di Selangor ini di masa akan datang.

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu