Thursday, October 25, 2012

ISU SELANGOR : KELEMAHAN PENTADBIRAN DI SELANGOR MELALUI LAPORAN AUDIT 2011



KENYATAAN MEDIA DATO’ SRI Ir. MOHD ZIN MOHAMED MENGENAI LAPORAN AUDIT NEGARA TERHADAP KERAJAAN NEGERI SELANGOR




Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

  1. Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini memperlihatkan banyak kelemahan-kelemahan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Khalid Ibrahim.
  2. Kelemahan ini telah dilaporkan secara telus oleh pihak Ketua Audit Negara namun Menteri Besar dengan angkuh cuba menafikan kredibiliti laporan tersebut dengan mempertikaikannya. Inikah sikap pemimpin yang berjiwa besar?

TAWAS

  1. Skim TAWAS diwujudkan kononnya untuk memberi faedah kepada semua anak kelahiran Selangor. Namun begitu, skim yang bermotifkan politik ini dibuat tanpa perancangan rapi dan ini menyebabkan hasil negeri dibazirkan begitu sahaja tanpa dapat digunakan secara optimum.
  2. Memandangkan Skim TAWAS ini dikendalikan oleh pihak Menteri Besar Incorporated (MBI), maka Menteri Besar selaku Pemegang Amanah perlu bertanggungjawab sepenuhnya.
  3. Peruntukan untuk TAWAS juga dilihat digunakan secara tidak seimbang. Daripada RM 13.5 juta peruntukan iaitu RM8.5 juta untuk TAWAS dan RM5 juta untuk pengurusan, hanya RM2.9 juta sahaja dibelanjakan untuk TAWAS sebaliknya, RM4.9 juta dibelanjakan untuk pengurusan.
  4. Ini bermaksud, pengendali TAWAS iaitu YAWAS (Yayasan Warisan Anak Selangor) membelanjakan 98% dari peruntukan RM 5 juta untuk pengurusan namun hanya 34.4% sahaja yang mendapat faedah darinya. Kenapakah wang pengurusan ini begitu tinggi dari wang yang diagihkan? Kemanakah baki RM 5.5 juta lagi?
  5. Pada masa yang sama, alasan Menteri Besar bahawa jumlah kelahiran iaitu 313,706 adalah tidak benar menunjukkan beliau tidak menghormati Laporan Ketua Audit Negara. Penafian Menteri Besar bahawa angka kelahiran adalah tidak tepat kerana bercampur dengan bukan warganegara juga tidak boleh diterima kerana pendaftaran TAWAS hanya 23.7%. Adakah MB mengatakan bahawa hampir 80% kelahiran lagi merupakan bukan warganegara?
  6. Persoalan penting ialah, bagaimanakah Kerajaan Negeri memberi jaminan setiap yang mendaftar dengan TAWAS akan mendapat pulangan RM1,500 apabila berumur 18 tahun? Ini kerana, sehingga kini masih belum ada apa-apa pelaburan dari pihak Kerajaan Negeri untuk menghasilkan pulangan yang berjumlah lebih dari RM20 juta untuk diberikan kepada anak Selangor yang mendaftar.
  7. Bukan sahaja dari segi kewangan, segala dokumentasi dan pentadbiran juga mendapat kritikan dari Ketua Audit Negara. Ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri gagal menyediakan satu program yang baik dan dijalankan dengan telus. Kenyataan exco Dr. Xavier bahawa kos operasi TAWAS turut digunakan untuk tujuan Jom Shopping sebenarnya memakan diri. Bagaimana mungkin peruntukan untuk tujuan lain digunakan sewenang-wenangnya bagi tujuan politik. Kita semua maklum bahawa program Jom Shopping merupakan agenda politik Pakatan yang dibuat secara sambil lewa dan tidak menyeluruh.
  8. Apa yang BN janjikan? Saya tidak boleh mendedahkan secara terperinci, namun pihak Barisan Nasional telah merangka satu skim yang lebih manfaat untuk anak Selangor apabila memerintah kelak. Apa yang lebih penting, pulangan untuk anak Selangor lebih terjamin dengan skim yang bakal diperkenalkan kelak.

TUKAR SYARAT TANAH

  1. Sejak mengambil alih pentadbiran di Selangor, Kerajaan Pakatan banyak terlibat dengan isu yang melibatkan tanah seperti tanah YBK, isu Talam yang juga dalam sektor hartanah dan isu tanah KHSB di Gombak seperti yang pernah saya dedahkan sebelum ini.
  2. Perkara ini sebenarnya berkait dengan tadbir urut kerajaan negeri yang gagal menguruskan tukar syarat tanah dengan baik dan berkesan.
  3. Menurut Laporan Ketua Audit Negara, terdapat banyak kelemahan dalam pengurusan tanah di Selangor ini. Ini termasuklah pembinaan kilang haram dan penggunaan tanah tanpa kebenaran.
  4. Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara juga merekodkan beberapa kelemahan seperti kutipan premium tanah yang tidak seimbang termasuk kutipan cukai yang tidak mencapai sasaran. Kelemahan-kelamahan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri memandang ringan soal tanah dan mengambil mudah pengurusan tanah ini.
  5. Ini langsung tidak mencerminkan sikap integriti yang kononnya dimiliki oleh Menteri Besar. Malah, kami juga akan mendedahkan pada masa hadapan beberapa siri pembohongan Khalid Ibrahim kepada rakyat Selangor termasuk menggunakan Institutsi beraja bagi menutup kelemahan beliau.

PENYELENGGARAAN JALAN

  1. Antara panggilan talefon yang diterima oleh Pusat Khidmat Rakyat (PAKAR) BN Selangor ialah aduan mengenai keadaan jalan negeri yang tidak diselengara dengan sempurna. Ini termasuklah jalan yang berlubang dan tidak sekata sehingga boleh menyebabkan kemalangan.
  2. Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Kerajaan Persekutuan memberikan RM 375.90 juta kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan penyelenggaraan Jalan Negeri yang berjumlah 16,013 kilometer. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri hanya membelanjakan RM218.15 juta sahaja. Iaitu 58.1% dari keseluruhan peruntukan. Ini secara tidak langsung menyebabkan wang Kerajaan Negeri meningkat. Hakikatnya, peningkatan wang kerajaan negeri bukanlah kerana kecekapan Menteri Besar mengurus kewangan tetapi sebaliknya beliau tidak membelanjakan untuk kebaikan rakyat.
  3. Tidak guna jika Khalid Ibrahim berbangga dengan peningkatan hampir RM2 billion kepada kerajaan Negeri jika rakyat tidak mendapat hasil dari peningkatan ini.
  4. Hakikatnya, Selangor yang terkenal sebagai negeri maju masih lagi mempunyai infrastruktur yang tidak sempurna di sesetengah kawasan.

PENYATA TUNAI

  1. Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan bahawa terdapat lebihan perbelanjaan tunai untuk tujuan mengurus hampir RM100 juta pada tahun 2011 berbanding 2010. Selain itu, berbanding 2010, Kerajaan Negeri juga membelanjakan RM624.51 juta wang tunai untuk perbelanjaan modal. Sedangkan pada tahun 2010, tiada sebarang perbelanjaan modal dilakukan.
  2. Untuk apakah perbelanjaan tunai yang begitu tinggi ini? Siapakah yang menerima jumlah tunai ini? Kenapakah perbelanjaan tunai adalah melebihi pendapatan tunai?
  3. Kami percaya, kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan jangka masa hadapan untuk mengukuhkan kewangan negeri sebaliknya hanya bermain dengan angka untuk jangka masa yang singkat sahaja.
  4. Ini terbukti apabila pihak Ketua Audit Negara mengkritik pelaburan jangka masa panjang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri tidak memuaskan malah pulangan yang diterima juga adalah sangat rendah.
  5. Ini amatlah berbeza dengan kenyataan exco Teresa Kok bahawa pelabur berlumba-lumba datang ke Selangor untuk melabur namun hakikatnya tidak diterjemahkan kepada realiti.
  6. Berbanding pada tahun 2007 iaitu ketika Barisan Nasional memerintah, trend pelaburan telah menurun lebih RM10 juta malah tidak langsung menunjukkan ianya akan meningkat dalam masa terdekat ini.
  7. Khalid Ibrahim yang kononnya mengamalkan perbelanjaan berhemat sebenarnya tidak diterjemahkan kepada rakyat. Hakikat ini perlu diteliti kerana walaupun kerajaan mungkin mempunyai sumber kewangan yang kukuh, namun rakyat Selangor tidak menikmati kebajikan seperti yang mereka janjikan samada dari segi infrastruktur mahupun dari segi kebajkan lain. Sebaliknya, peningkatan cukai pintu premis kediaman dan premis perniagaan serta kadar sewa yang dinaikkan menyebabkan rakyat terus terbeban.

Dato Sri’ Ir. Mohd Zin Mohamed
Koordinator BN Selangor

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu