Wednesday, July 4, 2012

Skandal RM1 billion : Khalid Nak Saman ? Silakan....



Kenyataan Media Dato’ Sri Ir Mohd Zin Mohamed mengenai isu penyelewengan RM 1 billion oleh Kerajaan Pakatan Selangor.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Salam 1 Malaysia

1. Pendedahan mengenai skandal dalam urusan penyelesaian hutang (bail-out) TALAM Corporation Berhad yang berjumlah RM392 juta, membuktikan Kerajaan Pakatan Negeri Selangor tidak mampu mengurus tadbir kewangan dengan baik malah lebih teruk dari itu, mereka bertindak secara tidak beretika dan penuh tanda tanya.

2. Persoalan pertama, kenapa wang kerajaan negeri digunakan untuk ‘membeli’ hutang TALAM? Rakyat Selangor pastinya ingin tahu adakah pembelian hutang ini juga mungkin mempunyai tujuan lain yang cuba disembunyikan oleh pihak PKR?

3. Jika sebelum ini beliau memberikan alasan bahawa Kerajaan Negeri tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk membantu Yayasan Basmi Kemiskinan dan Yayasan Selangor, namun kenapa kali ini ratusan juta boleh digunakan hanya untuk menyelamatkan syarikat kroni? Adakah ini sikap pemimpin yang sanggup menipu rakyat Selangor?

4. Pendedahan ini mungkin sebenarnya mempunyai kaitan juga dengan kenyataan saya sebelum ini iaitu punca Geran Selangorku yang bernilai RM300 juta. Sehingga kini, Menteri Besar Selangor mahupun Setiausaha Politik beliau, Faekah masih lagi berdolak dalih dalam isu tersebut. Saya percaya, pendedahan mengenai berlakunya penyelewengan RM 1 billion dalam urusan ‘bail-out’ TALAM akan mendedahkan lebih banyak salah laku yang diamalkan oleh pentadbiran Pakatan.

5. Proses pembelian hutang TALAM bukan sahaja merupakan proses yang tidak beretika tetapi berniat untuk mengelirukan rakyat. Skandal melibatkan wang rakyat yang berprofil tinggi ini tidak boleh dipandang ringan oleh kita semua.

6. Menteri Besar pada tahun 2009 telah mendapatkan budget tambahan dalam sidang DUN bagi pembelian hutang ini, beliau sendiri berjanji akan mengeluarkan KERTAS PUTIH (white paper) mengenai hutang ini pada penghujung 2010. Hampir dua tahun berlalu, sehingga kini tiada sebarang KERTAS PUTIH atau laporan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor untuk pengetahuan awam khususnya rakyat Selangor. Adakah ini hanya janji kosong atau sebenarnya Menteri Besar takut untuk mendedahkan perkara sebenar? Kenapakah Khalid masih belum mengotakan janji beliau?

7. Pengambilalihan hutang TALAM oleh Kerajaan Selangor, seperti yang didedahkan oleh Chua semalam, melibatkan wang rakyat Selangor yang bukan sedikit. Adakah ianya untuk kepentingan kroni dan orang-orang tertentu sahaja? Jika benar, inikah nilai accountability dan transparency yang dilaungkan oleh pihak Pakatan?

8. Dalam sidang media ini juga, saya ingin membangkitkan beberapa persoalan kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor terutamanya Menteri Besar sendiri.

a. Bolehkah Khalid Ibrahim menyediakan satu laporan terperinci setiap bentuk tanah atau asset yang dibeli oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan pengambilalihan hutang TALAM?

b. Berapakah harga pembelian setiap tanah atau aset, apakah asas kepada penilaian (assessment) tersebut dan perbandingan dengan harga pasaran semasa?

c. Apakah status pembangunan yang telah dilakukan ke atas setiap tanah atau aset yang telah dibeli tersebut?

d. Adakah benar kos pembelian tanah dan aset syarikat TALAM berjumlah RM 676 juta seperti yang didedahkan? Jika benar, ini merupakan satu nilai yang jauh lebih tinggi dari hutang sebenar iaitu hanya RM 392 juta. Bagaimanakah jumlah itu diperolehi?

e. Bagaimanakah proses rundingan pembelian tanah dan aset yang terlibat? Kerana rakyat perlu tahu harga tawaran dan bagaimana persetujuan ini dicapai.

f. Berapakah jumlah wang yang diterima oleh agensi yang dihutang oleh TALAM seperti Unisel, PNSB dan Kumpulan Hartanah Negeri Selangor (KHSB). Ini kerana menurut KHSB, hutang masih belum lagi dibayar. Dan jika UNISEL telah menerima hutang itu, maka soal penjualan aset UNISEL tidak timbul.

9. Nampaknya, segala skandal kewangan yang berlaku di Selangor adalah saling berkaitan antara satu sama lain. Perkara ini akan kita dedahkan dari masa ke semasa.

10. Gesaan ini perlu dijawab dengan terperinci kerana transaksi ini begitu meragukan. Bagaimana kerajaan negeri membelanjakan sejumlah wang yang begitu besar sekali untuk ‘membeli’ hutang TALAM melalui kaedah round-tripping sedangkan amalan ini hanya bertujuan untuk mencantikkan akaun sahaja tanpa memberikan keuntungkan kepada Kerajaan Negeri?

11. Rentetan daripada itu, demi kepentingan rakyat Selangor, pihak BN Selangor akan membuat laporan kepada SPRM dan menggesa pihak SPRM melakukan siasatan menyeluruh agar pihak yang bertanggungjawab dalam skandal ini dapat disiasat. Jika perlu, laporan kepada Bahagian Jenayah Kormesil PDRM juga akan turut dilakukan dalam masa terdekat ini.

12. Sikap Menteri Besar yang bermain silap mata dalam soal kewangan negeri adalah tidak menghairankan kerana beliau sendiri menanggung hutang jutaan ringgit dengan sebuah bank bagi tujuan pelaburan saham. Akibatnya, kewangan negeri yang dipertanggungjawabkan kepada beliau juga turut diperjudikan. Adakah ini sikap yang bertanggungjawab selaku ketua negeri?

13. Pendedahan demi pendedahan menunjukkan persoalan yang saya lontarkan sebelum ini terutamanya mengenai sumber kewangan Geran Selangorku yang meragukan mungkin berkaitan dengan pendedahan skandal RM 1 billion ini.

14. Sikap angkuh Menteri Besar yang masih cuba untuk berlagak tenang dan mencabar pihak BN supaya mendedahkan lebih banyak bukti hanya akan memakan diri. Kami akan membuat lebih banyak pendedahan pada masa akan datang. Saya berharap agar Menteri Besar dapat memberikan jawapan yang meyakinkan terhadap persoalan yang saya lontarkan. Sesungguhnya rakyat Selangor tidak mahu lagi diperbodohkan oleh pentadbiran Khalid Ibrahim dan sekutu Pakatan yang lain.

Dato’ Sri Ir Mohd Zin Mohamed
Koordinator BN Selangor

0 comments:

Post a Comment

Link Blogger Penang / Kedah / Perlis

Link Blogger Pahang / Kelantan / Terengganu